Jadikan Malaysia hab EV ASEAN – Tengku Zafrul

Jadikan Malaysia hab EV ASEAN – Tengku Zafrul

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada majlis pelancaran inisiatif Beyond Zero oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Taman MRANTI, Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggalakkan pembuat kenderaan elektrik (EV) dengan fasiliti di Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai hab membekal dan memberi perkhidmatan kepada pasaran EV ASEAN.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia mempunyai banyak faktor positif yang menjadikannya landskap pelaburan sangat kondusif untuk menyokong cita-cita hab serantau syarikat multinasional.

Katanya, selain lokasi yang strategik, penguasaan bahasa Inggeris yang kukuh, infrastruktur yang baik dan kedaulatan undang-undang, Malaysia juga mempunyai industri elektrik dan elektronik (E&E) yang sa­ngat mantap.

Jelasnya, E&E telah me­nyalurkan tenaga ke dalam industri lain, termasuk aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan EV.

“Saya ingin menggalakkan pembuat kereta EV dengan fasi­liti Malaysia (seperti Toyota) untuk turut mempertimbangkan menjadikan Malaysia hab anda untuk membekalkan dan memberi perkhidmatan kepada pasaran EV ASEAN yang berkembang pesat.

“Pasaran ASEAN dijangka berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) kira-kira 33 peratus dari seluruh AS$500 juta pada 2021, kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027,” kataya pada majlis pelancaran inisiatif Beyond Zero oleh UMW To­yota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) di Taman MRANTI di sini,  semalam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, secara komersial, industri automotif mencatatkan prestasi kukuh pada 2023, mencapai jumlah keseluruhan industri (TIV) hampir 800,000 unit.

Menurutnya, penggunaan kenderaan elektrifikasi (xEV) juga meningkat daripada 2.77 peratus daripada TIV bagi 2022 kepada 4.12 peratus bagi 2023.

“Kereta elektrik bateri (BEV) penumpang berdaftar baharu melonjak daripada sekitar 3,000 unit pada 2022 kepada lebih 13,000 unit pada 2023.

“Semua ini mencerminkan trend yang kukuh dalam peralihan daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV dalam kalangan pengguna Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. berkata, inisiatif Beyond Zero merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung.

“Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran  dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini,” ujarnya.

Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatannya yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri dan kenderaan elektrik sel bahan api. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN