Wang rampasan RM114 juta kes Jabatan Air Sabah masih dalam simpanan SPRM

Wang rampasan RM114 juta kes Jabatan Air Sabah masih dalam simpanan SPRM

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wang tunai dan harta bernilai kira-kira RM114 juta yang disita dalam siasatan kes membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah pada 2016 masih dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sementara menunggu proses rayuan di mahkamah selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, secara lazimnya penyitaan aset berada di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasa dan aset berkenaan kekal dalam jagaan agensi terbabit sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan.

Beliau berkata, aset hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia selepas perintah pelucuthakan diperoleh daripada mahkamah.

“Wang tunai dan harta yang disita semasa siasatan kes melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016 masih berada dalam simpanan SPRM.

“Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah memohon supaya kesemua wang dan harta yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia. Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan permohonan itu ditangguhkan sehingga semua proses rayuan di mahkamah yang lebih tinggi selesai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (GRS-Tuaran) yang meminta kerajaan menyatakan lokasi wang rampasan RM114 juta oleh SPRM dalam kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah pada 2016, serta langkah yang akan diambil bagi mengembalikan wang berkenaan kepada Kerajaan Sabah memandangkan ia dikatakan diperuntukkan bagi menaik taraf sistem bekalan air di negeri itu.

Azalina berkata, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen dan perkara itu masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan lanjut berhubung pelucuthakan atau pengagihan wang berkenaan hanya boleh diputuskan selepas semua proses rayuan selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN