PETALING JAYA: Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.4 hingga 3.3 peratus pada Januari lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi di Perak sebanyak 3.3 peratus, diikuti Pahang (0.8 peratus), Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuching masing-masing sebanyak 0.6 peratus.
Beliau berkata, bagi perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih, mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti papan lapis, bahan kerja paip dan cat bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Katanya, indeks harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak manakala terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-0.8 peratus), Johor (-0.3 peratus), Kota Kinabalu (-0.1 peratus) dan Sandakan (-2.2 peratus).
“Terdapat peningkatan kecil direkodkan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Perak (0.9 peratus) dan Kuching (0.2 peratus).
“Perbandingan bulanan juga turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Januari 2024. Terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.8 peratus) dan Terengganu dan Kelantan (0.5 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, perbandingan tahunan Januari 2023 dengan Januari 2024 juga menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.7 peratus hingga 12.0 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen dicatatkan bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (12.0 peratus), dikuti oleh Terengganu dan Kelantan (11.8 peratus).
Katanya, indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 4.0 peratus bagi Januari 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
“Namun begitu, kawasan yang mencatatkan penurunan indeks harga seunit besi adalah di Miri (-4.0 peratus), Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-3.0 peratus) dan Sandakan (-2.3 peratus),” katanya.
Ketua Perangkawan juga turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,664.51 satu tan metrik, peningkatan 1.0 peratus berbanding bulan
sebelumnya (Disember 2023: RM3,629.77 per tan metrik).
Purata harga simen (Ordinary Portland) pula mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1 peratus dengan purata harga RM22.97 per 50kg sekarung berbanding Disember 2023 (RM23.00 per 50kg sekarung).
Berdasarkan perspektif global, laporan daripada Mining.com pada Januari 2024 meramalkan bahawa bijih besi mempunyai permulaan yang baik untuk tahun ini, dengan kenaikan harga dan import yang kukuh oleh China.
“Laporan tersebut turut menyatakan bahawa China sebagai pengguna terbesar dunia bahan mentah ini, dijangkakan akan memberikan rangsangan untuk meningkatkan permintaan,” katanya. – UTUSAN










