PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, walaupun ketiadaan pemangkin baharu dan suasana dagangan yang lemah semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, FBM KLCI menokok 5.19 mata kepada 1,517.47, daripada penutup Jumaat lalu pada 1,512.28 mata.
Indeks barometer dibuka 0.35 mata lebih tinggi pada 1,512.63.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 159 berbanding 93, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,815 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 87.57 juta unit bernilai RM47.83 juta.
Firma penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan sentimen dagangan yang perlahan akan berterusan sehingga minggu pertama Tahun Baharu Cina (CNY), dengan KLCI diunjur kekal dalam julat sokongan 1,500 hingga 1,510 mata.
“Sentimen pelabur juga mungkin kekal berhati-hati kerana kebimbangan berterusan mengenai pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS terhadap dasar monetarinya, selain ketidaktentuan sekitar kemampanan pemulihan pasaran saham China, dan jangkaan keputusan korporat tempatan yang bergelora selepas CNY,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. (Maybank) menokok empat sen kepada RM9.30 sesaham, Public Bank Bhd. naik dua sen kepada RM4.37, CIMB Group Holdings Bhd. meningkat tiga sen kepada RM6.22 manakala Tenaga Nasional Bhd. rugi dua sen sen kepada RM10.76.
Bagi saham aktif, KNM Group Bhd. tidak berubah pada sembilan sen dan Reneuco Bhd. juga kekal 5.5 sen. Sementara itu, TWL Holdings Bhd. pada empat sen dan Minetech Resources Bhd. 15 sen, masing-masing menambah setengah sen, manakala YNH Property Bhd. naik 3.5 sen kepada 65 sen. – UTUSAN










