KUALA LUMPUR: Malaysia menyaksikan kira-kira RM448 juta aliran masuk asing bersih dalam pasaran saham tempatan bagi tempoh 15 hari pertama 2024, menandakan momentum lanjutan belian oleh pelabur asing mulai separuh kedua tahun lepas.
Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, perkara tersebut membantu indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjakkan melepasi paras 1,500 pada Isnin, iaitu ini naik 3.2 peratus.
“Dalam 15 hari pertama bulan ini, kita telah melihat purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat kepada RM3.25 bilion, iaitu 58 peratus lebih tinggi daripada RM2.06 bilion ADTV untuk keseluruhan 2023.,” katanya selepas majlis pelancaran logo baharu Bursa Malaysia di sini, semalam.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, pasaran saham Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM4.2 bilion pada separuh pertama, tetapi telah mengurangkan kerugian tersebut sebanyak RM2 bilion pada separuh kedua 2023.
Beliau yakin akan terdapat penyertaan lebih tinggi daripada pelabur domestik, sama ada runcit dan institusi untuk menyokong pasaran pada tahun ini walaupun terdapat ketidaktentuan luaran
“Sudah tentu, kami mempunyai asas yang kukuh dan jika kami menterjemahkannya ke dalam prestasi syarikat tersenarai awam, apabila mereka mengembangkan pendapatan mereka, mereka memperoleh lebih banyak dividen dan itu harus dicerminkan harga pasaran yang lebih baik pada 2024.
“Selain pelabur asing, kami juga yakin akan terdapat lebih banyak peruncitan domestik, serta penyertaan institusi dalam pasaran kami pada 2024 juga,” ujarnya.
Tambahnya, FBM KLCI kini dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan sebanyak 13.3 kali, jauh lebih rendah daripada purata 10 tahun kira-kira 15.5 kali.
Pada majlis tersebut Bursa Malaysia turut produk baharunya dan beberapa penyelesaian iaitu aplikasi baharu untuk emas sebagai aset pelaburan (Bursa Gold Dinar), portal pelanggan baharu (MyBURSA) dan platform baharu untuk menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga (BURSA REACH).
Ini adalah sebahagian daripada usaha Bursa Malaysia untuk memenuhi keperluan pelanggan dan meningkatkan kecairan pasaran, menyokong pertumbuhan ekonomi selanjutnya di negara ini. – UTUSAN










