Program TBB jana pelaburan RM12b

Program TBB jana pelaburan RM12b

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) menjana limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri TBB dan mewujudkan hampir 36,000 peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu akan menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon yang negara.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata, kementerian memimpin usaha negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) ketujuh berkaitan bekalan elektrik.

“Kami akan pastikan peralihan tenaga berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan, inklusiviti, dan daya saing.

“Komitmen kami termasuk mengurangkan jejak karbon dengan meningkatkan sumber TBB kepada 70 peratus pada 2050 dari sedia ada 25 peratus,” katanya.

Menurut Fadillah, peningkatan itu diurus secara menyeluruh bagi memberi keutamaan kepada kebolehpercayaan sistem bekalan, keterjangkauan pengguna dan kelestarian sumber.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan inisiatif dan program TBB bagi tahun ini seperti meneruskan Program Net Energy Metering (NEM) dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) untuk NEM Rakyat dan 300 MW untuk NEM NOVA.

Selain itu, beliau berkata, program solar berskala besar (LSS) juga dilakukan untuk pembangunan loji janakuasa solar dengan tawaran kuota 2,000 MW.

Dalam pada itu, program penjanaan tenaga rendah karbon menerusi mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA) dan projek rintis sistem penstoran tenaga dengan jumlah kapasiti 400M Wj turut dilaksanakan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×