Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM4,000 satu tan 2024

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM4,000 satu tan 2024

HLIB mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,000 satu tan tahun ini dan RM3,800 satu untuk 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) berkemungkinan kekal tidak memberangsangkan dalam beberapa bulan akan datang, mungkin sehingga suku kedua 2024 dengan ketiadaan pemangkin, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Bank pelaburan itu percaya, diskaun harga MSM yang tidak menarik berbanding minyak kacang soya, penyebaran minyak sawit dan minyak gas yang sempit dan paras stok yang tinggi di kalangan negara pengimport minyak sayuran utama khususnya China dan India, akan mengekang permintaan jangka pendek bagi minyak sawit.

Menurutnya, sentimen permintaan untuk minyak sawit akan bertambah baik apabila kesan El Niño yang tertinggal terhadap pengeluaran sawit dirasai (mungkin menjelang penghujung separuh pertama 2024 atau awal separuh kedua).

“Kami mengekalkan pendirian ‘neutral’ kami terhadap sektor itu, memandangkan ketiadaan pemangkin yang jelas,” kata HLIB dalam nota penyelidikan.

HLIB turut mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,000 satu tan tahun ini dan RM3,800 satu untuk 2025, berdasarkan andaian bahawa kesan El Niño terhadap pengeluaran dan harga sawit akan bermula sekitar pertengahan 2024.

Bank pelaburan itu berkata, bergantung kepada keamatan dan masa kejadian, kesan cuaca yang timbul daripada El Niño seterusnya akan mengakibatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah.

Jelasnya, dalam dua episod El Niño baru-baru ini (yang berlaku pada 2009-2010 dan 2015-2016), kesan ke atas hasil MSM dirasai lapan hingga sembilan bulan selepas kejadian.

“Oleh itu, kesan El Niño terhadap pengeluaran sawit berkemungkinan akan dirasai pada penghujung separuh pertama 2024 atau awal separuh kedua (jika sejarah menjadi panduan), dan ini seterusnya akan meningkatkan sentimen harga MSM,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN