Elmina Lakeside Mall capai kadar penghunian 85%

Elmina Lakeside Mall capai kadar penghunian 85%

ELMINA Lakeside Mall merupakan pusat beli-belah kedua milik penuh Sime Darby Property.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIK perniagaan menunjukkan kepercayaan mereka terhadap jenama Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) apabila mencapai kadar penghunian 85 peratus untuk Elmina Lakeside Mall yang dijangka dibuka pada suku ketiga 2024.

Malah, pusat beli-belah yang terletak secara strategik di Bandar Elmina telah pun menarik minat para penyewa sejak sebelum pusat beli-belah itu selesai dibina.

Dengan keluasan 0.68 hektar, Elmina Lakeside Mall merupakan pusat beli-belah milik penuh kedua syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, minat daripada pemilik perniagaan menunjukkan kedudukan pusat beli-belah yang strategik ini.

“Kami mengalu-alukan rakan kongsi perniagaan yang telah memilih Elmina Lakeside Mall sebagai destinasi utama untuk memperkenalkan kedai baru mereka.

“Kepercayaan mereka terhadap produk kami adalah bukti kepada persekitaran runcit yang menarik yang ingin kami wujudkan.

“Syarikat berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi yang telah menyertai kami untuk mencipta pengalaman membeli-belah yang hebat dan menetapkan standard baharu untuk kecemerlangan,” katanya.

Tambahnya, syarikat teruja untuk memperkenalkan pusat beli-belah kejiranan terbaharunya, satu ruang dinamik yang direka bentuk untuk pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan.

“Dengan pelbagai jenis jenama yang terkemuka, tawaran khas dan kemudahan yang terkini, kami yakin bahawa Elmina Lakeside Mall akan menjadi tempat tumpuan utama untuk para pengguna dan pembeli.

“Kami bukan hanya membina destinasi membeli-belah, tetapi kami juga sedang mencipta pusat komuniti gaya hidup untuk penduduk,” ujarnya.

Elmina Lakeside Mall mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 400,000 kaki persegi,  merangkumi 712 tempat letak kereta dan menawarkan pelbagai tawaran menarik termasuk restoran pandu lalu dengan pilihan tempat makan tempatan dan antarabangsa.

Pusat beli-belah ini juga menawarkan produk rumah dan gaya hidup, perkhidmatan dan kemudahan, kesihatan dan kesejahteraan serta butik gaya hidup.

Antara jenama yang bakal menghuni Elmina Lakeside Mall adalah Jaya Grocer, Harvey Norman, The Coffee Bean & Tea Leaf, Nak Nak, Inside Scoop, Kenny Hills Bakers, Jibby & Co, Chica Bonita, Sushi Zanmai, Para Thai, Super Saigon dan Dolly Dim Sum.

Elmina Lakeside Mall boleh diakses melalui beberapa laluan utama seperti Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN