Skandal Daihatsu: Toyota beri jaminan telus, akauntabiliti

Skandal Daihatsu: Toyota beri jaminan telus, akauntabiliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) memberi jaminan bahawa ia komited untuk meneruskan pengurusan de­ngan telus dan penuh akauntabiliti.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) yang melaporkan terdapat ketidaksempurnaan prosedur dalam ujian yang dilaksanakan oleh Daihatsu Motor Co Ltd. (DMC) dan memberi kesan kepada tiga model Toyota lain yang diedarkan oleh UMWT di negara ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran berkata, pihaknya ingin menekankan komitmen dalam mengekalkan piawaian dan kualiti tertinggi dalam kenderaan keluaran Sya­rikat itu.

“Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

“UMWT akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk menangani isu ini secara segera dan telus, dengan komitmen untuk menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada pasaran Malaysia,” katanya dalam kenyataan

Ravindran berkata, Syarikat memahami pentingnya kepercayaan pelanggan dan UMWT berazam untuk memperkukuhkan keyakinan mereka terhadap Syarikat.

“Komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama,” katanya.

Pada 20 Disember lalu, DMC, subsidiari TMC, telah mengumumkan penangguhan sementara penghantaran semua model yang sedang dalam pengeluaran di Jepun dan di luar negara berikutan penemuan isu keselamatan.

Kumpulan itu berkata, Daihatsu telah mentauliahkan siasatan kepada jawatankuasa pihak ketiga bebas berhubung isu prosedur dan mendapati masalah pada 174 item dalam 25 kategori ujian, di samping ketidakteraturan lapisan pintu pada April termasuk semasa ujian pelanggaran sisi pada Mei lepas.

Pengeluar kereta itu melalui satu kenyataan pada Rabu berkata, ini merangkumi sejumlah 64 model serta tiga enjin kenderaan daripada kese­luruhan model yang sedang dihasilkan, dibangunkan atau dihentikan pengeluaran termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.

Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara pengelu­ar peralatan asal (OEM) kepada Toyota, Mazda dan Subaru.

Senarai model tersebut termasuk beberapa kereta Perodua iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza.

Model Toyota yang disenaraikan berkaitan de­ngan pasaran kami ialah Rush, Vios dan Veloz.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dalam reaksinya kelmarin memaklumkan, menjalankan penilaian terperinci berkaitan dengan pengumuman DMC me­ngenai penggantungan model-modelnya disebabkan ‘ketidakaturan prosedur’.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×