Program Sukuk Musharakah SDP dapat penarafan AA+

Program Sukuk Musharakah SDP dapat penarafan AA+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Sukuk Musharakah Sime Darby Property Berhad (SDP) diberikan penarafan AA+ dengan tinjauan prospek stabil oleh MARC Ratings Berhad (MARC Ratings) untuk tahun ketiga berturut-turut

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Azmir Merican berkata, penarafan itu mencerminkan asas kukuh Kumpulan dan prospek pertumbuhan yang berterusan.

“Program itu memberi contoh bagaimana kami berubah daripada pemaju hartanah tulen kepada syarikat hartanah mampan seiring Matlamat Kelestarian 2030,” katanya dalam kenyataan.

Menurut SDP, jumlah terkumpul di bawah program itu berjumlah RM1.4 billion pada 30 November 2023.

Sementara itu, MARC Ratings berkata, rekod prestasi jualan SDP di bandar dan lembaran imbangan yang kukuh, dicirikan oleh leveraj yang rendah sebagai pemacu penarafan utama.

Tambah MARC Ratings, faktor penyumbang lain termasuk kadar pengambilan keseluruhan bagi projek dilancarkan dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9BTK2023) dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.2 billion dan kadar pengambilan 75 peratus setakat 5 November 2023.

Jelasnya, SDP mempunyai pendapatan yang kukuh sehingga 2026 dengan jualan belum dibil sebanyak RM3.7 billion pada akhir September 2023.

“Inventori Kumpulan itu kekal sederhana pada RM433.1 juta berbanding saiz projeknya setakat akhir 9BTK2023,” katanya.

Dalam pada itu, MARC Ratings berkata, SDP memberi tumpuan mengembangkan segmen perindustrian dan logistiknya sebagai sebahagian daripada kepelbagaian produk termasuk hartanah bina-untuk-pajakan untuk mengukuhkan aliran pendapatan.

Jelasnya, ia dicerminkan oleh pelancaran projek perindustrian bagi sembilan bulan pertama TK2023 Kumpulan dengan gabungan GDV sebanyak RM675.6 juta yang mencapai kadar pengambilan purata sebanyak 86 peratus pada 5 November 2023.

“Kumpulan mempunyai potensi yang kukuh untuk melaksanakan pembangunan perbandaran dan perindustrian selanjutnya dengan simpanan tanah yang boleh dibangunkan kira-kira 13,640 ekar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×