Pelaksanaan caj kesesakan perlu bagi capai bandar mampan

Pelaksanaan caj kesesakan perlu bagi capai bandar mampan – Nik Nazmi

NIK Nazmi Nik Ahmad mendengar penerangan Mohd. Azharuddin Mat Sah (kiri) semasa melawat bas elektirik Prasarana pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Kelestarian Prasarana di Kompleks BRT Sunway, di sini hari ini. - TUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA:  Kerajaan percaya pelaksanaan caj kesesakan adalah perlu selepas pengangkutan awam mencapai tahap tertentu bagi mencapai matlamat bandar mampan di Lembah Klang.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata,  walaupun tiada keputusan diputuskan mengenai perkara itu, beliau percaya ia adalah perkara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan untuk sebuah bandar yang lebih mampan bergerak ke hadapan.

“Terdapat perbincangan panjang mengenai pelaksanaan caj kesesakan apabila siap Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

“Itu bukan keputusan saya, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan jika kita mahu bercakap tentang bandar yang lebih mampan untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis pelancaran Pelan Tindakan Kelestarian Prasarana 2023-2030 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah serta Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Karima El Korri.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia berada di landasan tepat bagi mencapai status negara neutral karbon menjelang 2050.

Bagaimanapun katanya, banyak lagi perlu dilaksanakan termasuk pembabitan berterusan daripada semua pihak bagi merealisasikan perkara itu seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global.

“Kita masih di peringkat awal dan masih banyak perlu dilakukan mencapai sifar bersih pada 2050.

“Ketika ini, kita sedang melaksanakan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) bagi mendapat data-data yang diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN