PETALING JAYA: MIDF Research menyemak naik unjuran pendapatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak 24 peratus bagi tahun kewangan 2023, dipacu oleh trafik penumpang antarabangsa yang lebih tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA).
Menurut nota penyelidikannya, firma tersebut turut menyemak naik unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 masing-masing sebanyak 20 peratus dan 21 peratus.
“Selain itu, kami menjangkakan hasil sewa dan komersial yang lebih kukuh untuk operasi Malaysia, berikutan pembukaan semula sepenuhnya ruang runcit (dijangka pada suku pertama tahun kewangan 2024).
“Ini akan membawa kepada pemberhentian pengecualian dan diskaun di tengah-tengah pemulihan trafik penumpang,” katanya di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai prospek, firma penyelidikan berkata, dengan jangkaan pemulihan berterusan dalam trafik penumpang Malaysia, syarikat penerbangan tempatan dan lima syarikat penerbangan asing teratas merancang untuk meningkatkan kapasiti tempat duduk masing-masing sebanyak 24 peratus dan 31 peratus pada tahun depan.
“Perjanjian kemasukan tanpa visa timbal balik yang akan datang antara China dan Malaysia, mulai 1 Disember 2023 adalah rangsangan yang dialu-alukan, memandangkan hanya 58 peratus penumpang sebelum Covid dari China telah pulang setakat 23 September.
“Sementara itu, pemulihan trafik SGIA bersedia untuk pertumbuhan didorong oleh peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, MAHB mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) teras sebanyak RM134.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023, menjadikan PAT teras terkumpul untuk tempoh sembilan bulan pertama kepada RM317.5 juta.
Jelasnya, prestasi tersebut melebihi jangkaan, membentuk 88 peratus/80 peratus daripada anggaran tahun penuh/konsensus firma tersebut.
MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap MAHB, namun menyemak naik harga sasaran (TP) kepada RM7.80 daripada RM7.45 sebelumnya.
“Pemangkin utama termasuk pemulihan sektor Asia Timur yang lebih cepat daripada jangkaan dan syarikat penerbangan tempatan itu membina semula pesawat mereka,” jelasnya. – UTUSAN










