Gaji di Malaysia terlalu rendah, perlu anjakan untuk tarik bakat

Gaji di Malaysia terlalu rendah, perlu anjakan untuk tarik bakat

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan perlu membayar gaji sekurang-kurangnya dua pertiga daripada gaji yang diterima pekerja Malaysia di Singapura bagi menarik bakat berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di dalam negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, anjakan para­digma diperlukan bagi mencapai Malaysia yang lebih tangkas, berdaya tahan dan berkembang maju.

Katanya, negara harus beralih daripada intensif buruh kepada nilai dan membayar untuk kemahiran serta daripada tenaga kerja bergaji rendah kepada masyarakat kelas pertengahan yang berdaya tahan.

“Gaji di Malaysia sebenarnya terlalu rendah. Gaji medium pada 2022 adalah pada RM2,424 dan ini bermakna 50 peratus rakyat Malaysia yang bekerja menerima gaji di tahap itu.

“Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan gaji secara berperingkat dalam Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030. Salah satu objektif dan matlamat adalah untuk mewujudkan suasana di mana gaji pertengahan untuk perkilangan pada 2030 akan sampai tahap RM4,510.

“Gaji yang lebih tinggi akan memberi kebaikan kepada semua kerana ia akan membantu sektor perkilangan beralih untuk automasi. Ini dapat mendorong melakukan agenda-agenda lain supaya kita kurang bergantung kepada pekerja ­asing tanpa kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada CEO Series 2023 (Forum Ekonomi dan Perniagaan) anjuran Institut REHDA di sini, semalam.

Sementara itu, Chin Tong berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus dalam menarik ba­nyak pelaburan ke dalam negara pada tahun ini.

“Jadi, sebaik sahaja kita mempunyai pelaburan, perkara seterusnya adalah memboleh­kan kita menyusun cara yang membayar gaji lebih tinggi, mengadakan lebih banyak automasi dan menarik lebih banyak bakat berkemahiran tinggi.

“Apabila pelaburan ada dalam sistem, pada satu ketika, kilang perlu membayar lebih tinggi dan apabila gaji lebih tinggi, kita mencapai tahap di mana rakyat Malaysia yang bekerja di Si­ngapura berasa selesa untuk kembali bekerja di sini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×