Covid-19: Saham pengeluar sarung tangan getah pilihan pelabur

Covid-19: Saham pengeluar sarung tangan getah pilihan pelabur

SAHAM pengeluar syarikat sarung tangan menjadi pilihan pelabur susulan peningkatan kes Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaunter saham pengeluar sarung tangan getah menjadi pilihan pelabur apabila menunjukkan peningkatan pembelian, susulan peningkatan ke Covid-19 ketika ini.

Top Glove Corp Bhd., pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia muncul sebagai kaunter paling aktif pada Isnin, ditutup pada 0.96 sen pada pukul 5 petang lebih tinggi daripada paras rendah 80 sen minggu lepas dengan permodalan pasaran RM7.88 bilion.

Syarikat tersebut yang berada dalam kedudukan merah selama lima suku berturut-turut dijangka mengeluarkan keputusan kewangan suku pertamanya untuk tahun kewangan berakhir 30 Nov 2023 pada Rabu.

Semenatra itu, Careplus Group Bhd. muncul sebagai saham kedua paling aktif ditutup pada 0.46 sen, naik 0.12 mata dengan permodalan pasaran sebanyak RM272.01 juta

Supermax Corp Bhd. pula naik 0.090 mata kepada RM1.01 sesaham dengan permodalan pasaran RM2.75 bilion.

Dalam pada itu, saham Hartalega Holdings Bhd. meningkat 0.060 mata kepada RM2.75 diterjemahkan kepada permodalan pasaran RM9.43 bilion.

Kossan Rubber Industries Bhd. turut melonjak kepada RM1.88 sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM4.81 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, permintaan sarung tangan getah akan meningkat berkali ganda dan mendatangkan keuntungan besar pengeluar jika jumlah kes terus naik seperti kemuncak Covid-19 dahulu.

Katanya, permintaan terhadap sarung tangan mungkin akan berterusan sehingga ke tahun depan tetapi tidak serius seperti dua tahun lalu kerana kebanyakkan penduduk dunia sudah mengambil dua dos vaksin.

“Momentum ada turun naiknya. Apabila Covid-19 ini reda, maka minat pelabur akan juga turun. Itu permainan para pelabur yang cuba mencari peluang keuntungan di mana saja,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihaknya melihat peningkatan kes Covid-19 akan menyebabkan peningkatan permintaan ke atas sarung tangan dan ini akan memberi impak kenaikan harga saham syarikat-syarikat tersebut.

“Namun begitu, prestasi kewangan syarikat yang bagus akan ditunjukkan apabila peningkatan kes Covid-19 ini kekal tinggi untuk jangka masa yang lama.

“Peningkatan prestasi pengeluar sarung tangan getah ini mungkin tidak akan jadi seperti semasa tahun 2020 dan 2021 kerana persaingan sarung tangan getah semakin sengit terutamanya oleh pengeluar dari China,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×