BNM jangka separuh pembiayaan baharu sokong peralihan iklim

BNM jangka separuh pembiayaan baharu sokong aktiviti peralihan iklim menjelang 2026

ABDUL RASHEED ABDUL GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank tempatan adalah sejajar dengan aktiviti yang menyokong iklim atau aktiviti peralihan menjelang 2026.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, setakat ini komitmen kewangan industri berjumlah lebih AS$43 bilion untuk tujuan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Walau bagaimanapun, kata beliau, Malaysia tidak boleh melakukannya sendiri.

“Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kerajaan menjangka bahawa Malaysia akan memerlukan pelaburan sekitar AS$280 bilion menjelang 2050 untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga kami,” katanya dalam ucapan di Hari Kewangan Iklim Malaysia pada Persidangan COP28 di Dubai.

Menurut Abdul Rasheed, aspirasi BNM adalah untuk sektor kewangan Malaysia memainkan peranan penting dalam menggembleng modal untuk memenuhi keperluan pembiayaan iklim dunia pada umumnya yang dianggarkan berjumlah AS$275 trilion menjelang 2050.

Visi BNM kata beliau, untuk Malaysia memudahkan dan menjadi pemangkin kepada aliran kewangan hijau bagi kebaikan bumi adalah sangat sejajar dengan aspirasi Bank Pusat itu untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui untuk ASEAN, serta berperanan sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.

“Kami melihat wujudnya peluang untuk penyelesaian yang lebih inovatif seperti kewangan campuran bagi menyokong peralihan yang adil dan teratur.

“Sebagai ilustrasi, gabungan pembiayaan konsesi dan pembiayaan komersial iaitu kewangan campuran, boleh membantu meningkatkan kebolehan untuk mengakses perkhidmatan perbankan bagi projek hijau dan peralihan yang berisiko tinggi. Kewangan campuran juga boleh mengurangkan kos peralihan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah negara yang dikurniakan dengan kepelbagaian biologi yang tiada tandingannya, pemuliharaan alam semula jadi amat penting bagi Malaysia.

Ekosistem Malaysia yang kaya katanya, bukan sahaja menyumbang kepada warna-warni kehidupan global tetapi juga membentuk tulang belakang ekonomi negara dan mata pencarian banyak rakyat Malaysia.

“Melalui pemeliharaan khazanah alam Malaysia, kami memastikan kemampanan sumber penting, lantas menyokong pertanian, perhutanan, dan perikanan. Sebagai penjaga kepada tanah yang pelbagai dan berharga ini, menghayati pemuliharaan alam
semula jadi bukan sekadar tanggungjawab tetapi laluan ke arah masa depan yang mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia dan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN