KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Panduan Maqasid Al-Syariah untuk Pasaran Modal Islam Malaysia (Panduan), kesinambungan usaha bagi membangun dan menggalakkan industri terus kukuh dan berdaya tahan.
Panduan itu menggariskan prinsip-prinsip universal bagi meningkatkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam (ICM) dan mengukuhkan impak dan sumbangan ICM kepada masyarakat dan ekonomi sebenar.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, Panduan yang mematuhi piawaian etika tertinggi berdasarkan prinsip teras syariah itu dijangka dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan utama.
Katanya, ia juga selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, yang bertujuan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju global dalam ICM dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh syariah.
“Dokumen berasaskan prinsip ini tidak bertujuan untuk menggantikan keperluan syariah sedia ada. Sebaliknya, ia adalah untuk melengkapkan undang-undang dan peraturan SC yang sedia ada.
“Ini sama dengan konsep ‘halal’ dan ‘tayyib’ di mana produk bukan sahaja dibenarkan tetapi juga bermanfaat, mampan dan baik untuk masyarakat,” katanya pada Persidangan SC-Bank Dunia di Bukit Kiara di sini semalam.
Sementara itu, Awang Adek berkata, Panduan ini dirangka selaras dengan enam aspirasi menyeluruh yang sesuai dalam konteks ICM iaitu Kemanusiaan; Keadilan dan Ihsan; Kejelasan dan Ketelusan; Fleksibiliti dan Inovasi; Fidusiari dan Akauntabiliti dan Kebolehcapaian dan Keterangkuman.
Menurutnya, setiap aspirasi menggariskan prinsip-prinsipnya yang tersendiri, dengan sejumlah 15 prinsip sebagai rujukan untuk pasaran modal.
“Aspirasi dan prinsip ini dikenalpasti selepas semakan dan rujukan dari pelbagai sumber dari kedua-dua pakar syariah klasik dan kontemporari,”ujarnya.
Persidangan yang berlangsung selama sehari itu dihadiri lebih 150 pemain industri termasuk pengamal pasaran modal, institusi kewangan Islam, penasihat syariah, peserta antarabangsa dan agensi kerajaan.
Sehingga Ogos 2023, pasaran modal Islam menyumbang sebanyak 64 peratus atau RM2.4 trilion daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia. – UTUSAN










