PETALING JAYA: SACC Food Chain Sdn. Bhd. (SFCSB), anak syarikat SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) menganjurkan pertandingan memasak ala ‘Masterchef’ diberi nama SACC MASTA CHEP Squid Challenge 2023.
Pertandingan berlangsung petang ini di Restoran SACC Kelana Seafood Shah Alam, menampilkan dua kategori menarik iaitu Sotong Gergasi dan Sotong Slice.
Seramai 14 peserta terdiri daripada kakitangan kedua-dua syarikat bersaing untuk mempamerkan kemahiran memasak mereka untuk merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM5,400.

Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran berkata, chef eksekutif dan pihak pengurusan akan menilai masakan peserta melalui beberapa kriteria seperti rasa, kreativiti dan persembahan makanan.
Beliau berkata, yang menariknya menu tempat pertama akan menjadi salah satu menu baharu bagi Restoran SACC Kelana Seafood yang akan dilancarkan sekaligus dengan penukaran nama baharu restoran itu.
“Selain penukaran menu dan nama, kami juga akan memastikan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh pihak restoran kami adalah yang terbaik selain kami juga ingin menarik lebih ramai pelanggan baharu untuk mencuba makanan laut yang segar dan lazat di restoran kami ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lokasi restoran yang terletak di tepi tasik Shah Alam memang sesuai untuk para pelanggan yang inginkan suasana ‘nature’ dan juga untuk mereka yang mencari tempat untuk ‘healing’.
“Acara-acara seperti sambutan hari lahir, hari perpisahan dan program makan malam juga sesuai diadakan di restoran kami,” katanya. – UTUSAN










