PETALING JAYA: MIDF Research mengunjurkan ringgit mengukuh pada paras RM4.30 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dikatakan telah mengakhiri kitaran dasar monetari yang ketat.
Firma penyelidikan itu berkata, ia seiring dengan jangkaan bahawa mata wang pasaran baharu muncul akan mengukuh apabila kadar faedah AS menghampiri paras kemuncaknya yang akan disusuli dengan kemasukan semula aliran dana ke pasaran berisiko.
“Seiring dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3.00 peratus dalam tempoh memasuki 2024, kami menjangkakan ringgit akan turut mendapat manfaat berikutan tiada kenaikan perbezaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) dan OPR.
“Asas ekonomi pula secara amnya kekal menyokong ringgit dalam senario ekonomi domestik yang berdaya tahan dan inflasi yang terkawal,” jelasnya.
Tambahnya, faktor lain adalah petunjuk yang mencerminkan pemulihan berterusan di China serta peningkatan eksport elektrikal dan elektronik (E&E), juga menandakan prestasi perdagangan luar yang lebih positif dalam bulan-bulan akan datang.
Selain itu, firma penyelidikan itu memberitahu, kenaikan harga komoditi global akan turut memberi manfaat kepada ringgit berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih komoditi.
Sementara itu, penganalisis berkata, pelabur asing akan kembali melabur dalam pasaran tempatan jika ringgit terus mengukuh supaya mereka mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi bursa saham akan terus dipengaruhi oleh sentimen domestik dan juga antarabangsa.
Katanya, ini terutamanya melihat kepada krisis di Asia Barat dan juga Ukraine-Russia yang akan menyebabkan sentimen bercampur-campur.
“Saya melihat kejatuhan ringgit baru-baru ini disebabkan ketidakstabilan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih bersifat spekulasi dan bukan disebabkan oleh asas ekonomi negara kita.
“Oleh itu prestasi ringgit dijangka akan kembali mengukuh, kemungkinan sekitar RM4.60 kepada RM4.65 untuk minggu ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, keadaan ekonomi yang stabil, kestabilan harga barang dan juga kadar inflasi yang masih lagi rendah ketika ini boleh menarik pelabur asing dan tempatan di Bursa Malaysia.
Menurutnya, ada kemungkinan pelabur asing mengambil kesempatan daripada nilai ringgit yang rendah untuk membeli saham pada harga yang lebih murah.
“Saya jangkakan sektor pembuatan dan pengilangan serta telekomunikasi dan utiliti menjadi tumpuan kepada pelabur-pelabur ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai pergerakan ringgit, beliau berkata, nilai dolar AS yang dalam trend menurun ketika ini mendorong nilai ringgit sedikit naik, sambil mengunjurkan mata wang negara akan berada pada sekitar RM4.6 hingga RM4.7 menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN










