myTukar optimis potensi di Malaysia - Utusan Malaysia

myTukar optimis potensi di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI kereta terpakai dalam negara terus merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Kerancakan industri dapat dilihat dengan kewujudan syarikat seperti myTukar yang terlibat secara langsung dalam segmen kenderaan tersebut di dalam dan luar negara.

Optimis dengan potensi di malaysia mendorong syarikat berkenaan untuk berkembang dalam pelbagai pasaran di lama negara.

“Usaha ini termasuklah memperbanyakkan lokasi pusat jualan, terutamanya di lokasi yang berkepadatan tinggi, dan meningkatkan lagi perkhidmatan selepas jualan untuk pengalaman yang lebih baik buat pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng.

Ikuti temubual Utusan Malaysia bersama Derrick yang dibuat melalui e-mel, baru-baru ini.

UTUSAN: Anda menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif myTukar pada Disember 2021. Bagaimanakah perkembangan perniagaan sejak itu, dan apakah antara perubahan yang telah anda perkenalkan kepada syarikat?
DERRICK ENG: Sejak menggalas jawatan ini, saya telah mengetuai pasukan saya di myTukar untuk mencapai pertumbuhan hasil tahun ke tahun yang agak mengagumkan iaitu sebanyak 85 peratus pada 2022, dan peningkatan yang sangat menakjubkan sebanyak 215 peratus dalam sektor runcit. Kehadiran kami telah berkembang dengan ketara, menerusi lebih 2,600 pengedar berdaftar, 10 pusat pameran kereta, 23 pusat pemeriksaan kereta, 5 bengkel dan 2 pusat baik pulih kereta. Pencapaian ini merupakan satu lonjakan besar daripada hanya 3 pusat pameran kereta dan 1 pusat baik pulih sebelum saya mula berkhidmat.

Walau bagaimanapun, pendekatan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bukan sekadar pada nombor. Saya percaya para pekerja merupakan tulang belakang di sebalik kejayaan myTukar, justeru itu saya mengutamakan kesejahteraan dan pertumbuhan mereka. Kami telah memperkenalkan modul latihan yang komprehensif untuk memupuk nilai kebersamaan dan peluang untuk meningkatkan kemahiran. Pengambilan pakar juga telah membantu kami melatih dan meningkatkan kemahiran bahagian tertentu dalam myTukar dengan efektif.

Kami juga mengimplementasikan proses berlandaskan data yang membezakan kami daripada penjual kereta terpakai tradisional. Sistem kami memaparkan keseluruhan kitaran hayat kereta terpakai, daripada pembelian dan membaik pulih kepada penjualan dan penyelenggaraan. Pendekatan berlandaskan data ini bukan sahaja mengoptimumkan operasi tetapi juga memastikan kami memberikan nilai yang lebih baik secara konsisten kepada pelanggan kami.

Pada dasarnya, visi saya untuk pertumbuhan myTukar bukan hanya dari segi nombor, tetapi juga terhadap pemupukan budaya kecemerlangan, inovasi dan keprihatinan terhadap pekerja, pelanggan, serta industri kereta terpakai secara keseluruhan.

Selepas enam tahun beroperasi, apakah yang boleh anda kongsikan tentang strategi pertumbuhan myTukar dan adakah terdapat sebarang perancangan untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia?
Kami bermula dengan tumpuan utama pada sektor perniagaan ke perniagaan (B2B). Walau bagaimanapun, setelah menyedari perkembangan dinamik dalam pasaran kereta terpakai, kami mengalihkan tumpuan secara strategik kepada segmen runcit, dengan penekanan pada penyediaan penyelesaian yang menyeluruh.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, kami memberi penekanan yang signifikan terhadap perkhidmatan selepas jualan, termasuk menubuhkan dua pusat baik pulih yang terkemuka dalam industri di USJ Subang dan Ulu Tiram Johor. Langkah ini diambil supaya dapat menawarkan kereta yang yang selari dengan janji kami iaitu ‘sebaik yang baru’. Kami sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan kami dan terdapat banyak lagi perkara yang akan dilaksanakan pada masa hadapan, semuanya hasil daripada usaha sama strategik antara Carro dan Jardine Cycle & Carriage.

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, kami optimis dengan potensi di Malaysia. Salah satu inisiatif utama kami adalah untuk terus berkembang dalam pelbagai pasaran dalam negara. Usaha ini termasuklah memperbanyakkan lokasi pusat jualan, terutamanya di lokasi yang berkepadatan tinggi, dan meningkatkan lagi perkhidmatan selepas jualan untuk pengalaman yang lebih baik buat pelanggan.

Apakah strategi anda untuk menjana lebih banyak keuntungan untuk myTukar pada tahun akan datang?

Kami mempunyai strategi serampang tiga mata yang akan membantu mencapai keuntungan.
● Inovasi Teknologi: Kami memanfaatkan teknologi daripada syarikat induk kami iaitu Carro, untuk memperhalusi keupayaan teknologi kami dalam menyelaraskan keupayaan operasi dan membaik pulih kami. Usaha ini akan meningkatkan perkhidmatan selepas jualan dan produk kami, serta menjanjikan pengalaman yang lebih baik dan lancar untuk pelanggan kami pada setiap masa.

● Meluaskan Perkhidmatan: Kitaran hayat pelanggan adalah penting dan kami ingin memastikan mereka dibimbing dalam semua aspek pemilikan kereta – termasuk menyediakan pilihan pinjaman melalui syarikat seinduk kami, Genie Malaysia. Dengan mempelbagaikan portfolio perkhidmatan dan menawarkan perkhidmatan baru yang bersesuaian dengan pasaran Malaysia, kami menyasarkan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas dan mendalam, sekaligus memacu pertumbuhan hasil.

● Kecekapan Operasi: Perkara utama dalam memacu keuntungan adalah memastikan operasi berjalan lancar dengan efisien tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti. Kami akan menyemak dan memperhalusi proses operasi kami untuk memastikan tempoh pemprosesan yang pantas dan penggunaan sumber yang lebih optimum.

Bagaimanakah myTukar akan terus menonjol dan berbeza daripada pesaingnya, seperti Carsome serta penjual kereta terpakai yang lain?
MyTukar fokus pada meraih kepercayaan melalui inovasi dan teknologi. Tidak seperti penjual kereta terpakai tradisional, kami telah melengkapkan pakar-pakar kami yang berkemahiran tinggi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) milik myTukar. Gabungan dua kepakaran ini membantu meningkatkan proses pemeriksaan dan membaik pulih secara menyeluruh untuk memastikan setiap kereta yang dijual adalah seperti baru.

Kami juga sedang menerajui perubahan dan ketelusan dalam industri kereta terpakai. Dengan myTukar Certified, pelanggan kami mempunyai akses kepada latar belakang kereta dan laporan pemeriksaan penuh. Proses pensijilan komprehensif kami merangkumi 160 poin pemeriksaan yang teliti, jaminan pulangan wang dalam 5 hari, polisi ketat terhadap manipulasi perbatuan, serta penolakan mana-mana kereta yang mengalami sebarang kerosakan serius akibat kemalangan, kebakaran, dan banjir.

Kami turut fokus pada keseluruhan ekosistem dan sedang terus berusaha menyediakan perkhidmatan yang meliputi Pembiayaan, Insurans dan Perkhidmatan Selepas Jualan kepada pelanggan setia kami. Kami menyediakan perkhidmatan pembiayaan melalui syarikat seinduk kami, Genie Malaysia, yang mempunyai lebih RM500 juta rekod pinjaman terkumpul melalui kira-kira 9,000 pinjaman sewa beli kenderaan (sehingga akhir Tahun Kewangan 2023). Kami mempunyai lima bengkel dan dua pusat pulih yang lengkap (di Lembah Klang dan Johor). Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi strategik kami, ZA Tech, yang memperkasakan platform teknologi insurans kami.
Sebagai ekosistem kereta terpakai yang paling pesat membangun di Malaysia, adakah inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) diimplementasikan dalam operasi perniagaan anda, dan jika ya, bagaimana?

Dengan sokongan Carro, kami kini memanfaatkan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dalam pelbagai urusan perniagaan.

Untuk pemeriksaan 160 poin kami , kami mempunyai teknologi Penglihatan Berkomputer dan Kejuruteraan Akustik untuk meningkatkan kualiti dan proses kami. Penglihatan berkomputer ialah teknologi imbasan AI yang dipatenkan Carro yang mampu mengimbas kereta dan mengesan sekecil-kecil lekukan serta bunyi kerosakan yang mungin ada. Manakala teknologi Kejuruteraan Akustik pula terdapat dalam aplikasi dalaman kami untuk mengesan pelbagai jenis bunyi enjin kereta merentasi jenama dan model. Oleh itu, apabila kereta dihidupkan, kami dapat mengenal pasti dengan tepat potensi masalah yang ada. Mekanik kami akan menggabungkan kemudahan yang dipacu AI ini dengan kepakaran manusia, dalam memastikan semua kereta menjalani pemeriksaan yang menyeluruh.

Kami juga telah menyepadukan strategi berlandaskan data untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi. Dengan memanfaatkan analisis data yang meluas melalui Sistem Penjejakan Aset, kami dapat mengenal pasti kawasan permintaan dan memastikan kereta disalurkan dengan baik ke pusat jualan yang berpotensi besar dapat memenuhi kehendak pelanggan.

Kemajuan algoritma harga pada platform kami merangkumi beberapa faktor, seperti keadaan pasaran, sejarah kenderaan dan trend permintaan. Hasilnya, harga yang ditawarkan bukan sahaja kompetitif malah mencerminkan nilai sebenar kereta, sekaligus memberikan tawaran yang adil untuk kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual.

Proses pembelian juga dipermudahkan untuk pelanggan hasil daripada penggunaan data dalam sistem pemprosesan pinjaman baru kami untuk kelulusan yang lebih pantas dan pemerolehan data bagi kadar bank yang kompetitif. Inisiatif ini memastikan pelanggan mempunyai pilihan pembiayaan yang terbaik.

Melihat akan gerakan global ke arah kelestariandan kebangkitan Kenderaan Elektrik, apakah jangkaan anda terhadap masa depan industri kereta terpakai?

Kereta terpakai – bukan sahaja kenderaan elektrik – juga merupakan antara perbualan yang berkisar dengan kelestarian. Namun, menyentuh mengenai kenderaan elektrik, kami menjangkakan peningkatan ketara dalam permintaan untuknya pada tahun-tahun mendatang. Apabila kadar penggunaan untuk kenderaan elektrik baru meningkat, kami yakin kenderaan ini akan memasuki pasaran kereta terpakai, ini akan menyediakan lebih banyak pilihan mampu milik untuk pengguna.

Apabila infrastruktur kenderaan elektrik seperti stesen pengecasan semakin berkembang maju dan meluas di Malaysia, industri kereta terpakai akan memainkan peranan penting dalam menjadikan pengangkutan hijau mampu diakses oleh demografi yang lebih besar.

Di myTukar, kami bukan hanya mahu turut bersama dan memenuhi keperluan semasa, tetapi kami juga sentiasa berkembang serta mengikuti trend pasaran.

Kami juga menjangkakan peningkatan dalam keperluan untuk perkhidmatan khusus bagi penyelenggaraan dan pensijilan kenderaan elektrik terpakai untuk memastikan kenderaan tersebut memenuhi piawaian keselamatan dan prestasi. Di myTukar, kami komited untuk berkembang seiring dengan peralihan industri agar dapat terus memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat. Hal ini bukanlah cabaran utama bagi kami kerana syarikat induk kami, Carro, mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan elektrik, oleh itu kami bersedia untuk membawa kepakaran tersebut ke Malaysia.

Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga merupakan topik yang semakin hangat dibincangkan dalam industri perniagaan meliputi setiap sektor. Apakah inisiatif ESG yang myTukar lakukan sebagai salah satu pemain utama dalam industri ini?

ESG bukan sekadar trend; ia merupakan satu tanggungjawab, dan di myTukar, kami amat komited terhadap prinsip ini. Antara langkah yang diambil untuk menerapkan prinsip ESG ke dalam operasi kami ialah:

● Alam Sekitar: Kami sentiasa meneroka cara untuk mengurangkan jejak karbon dalam semua operasi, seperti melalui pelaburan dalam sistem cekap tenaga bagi kegunaan operasi kami dan mengutamakan pendekatan digital untuk mengurangkan penggunaan kertas serta mengelakkan pembaziran.
● Sosial: Kami komited dalam memupuk suasana tempat kerja yang inklusif di mana semua pekerja berasa dihargai. Kami melabur dalam latihan dan pembangunan para pekerja untuk meningkatkan kemahiran supaya mereka dapat berkembang maju.
● Tadbir urus: Integriti dan ketelusan adalah teras kepada nilai myTukar. Kami telah melaksanakan struktur tadbir urus yang teguh dalam memastikan amalan perniagaan yang beretika di semua peringkat. Kami juga memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan ketelusan dalam operasi, bagi memastikan para pelanggan dan rakan-rakan perniagaan kami mempercayai proses yang kami tawarkan.

Tuntasnya, kami berbesar hati dengan inisiatif yang telah diambil dan melihat usaha ESG ini sebagai komitmen berterusan kami. Kami sentiasa mencari cara untuk memperhebatkan lagi impak kami, supaya myTukar kekal sebagai kuasa positif dalam industri dan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya