KWSP catat pendapatan pelaburan RM47.86 bilion

KWSP catat pendapatan pelaburan RM47.86 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B 2023), meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion yang
dicatatkan dalam tempoh yang sama 2022.

Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.

Menurut dana pencen itu, daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga (S3 2023) berakhir 30 September 2023 pula adalah sebanyak RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos.

“Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada suku ketiga, KWSP menyaksikan peralihan yang ketara dalam prestasi ekuiti global yang telah mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun itu.

Beliau berkata, perang Gaza-Israel dan konflik Russia-Ukraine yang berterusan pastinya akan menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran.

“Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menerukkan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora. Perubahan dalam sentimen pasaran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kebimbangan tentang kestabilan ekonomi China, kenaikan harga tenaga dan peningkatan hasil bon kerajaan, kesemuanya berlatarbelakangkan kemungkinan bahawa tempoh kadar faedah yang tinggi akan berlanjutan.

“Bulan Ogos 2023 pula mencatatkan peristiwa penting apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) daripada AAA kepada AA+. Tindakan ini didorong oleh beban hutang yang semakin meningkat, sekaligus menggariskan cabaran yang dihadapi oleh landskap ekonomi global,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×