Bask Bear Coffee buka kios pandu lalu pertama di Melaka

Bask Bear Coffee buka kios pandu lalu pertama di Melaka

CHARLES Brewer menerima layanan Bryan Loo sebagai simbolik pelancaran kios pandu lalu BBC di Pejabat Pos Besar Melaka, Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bask Bear Coffee (BBC) merancang untuk membuka empat lagi kios pandu lalu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, setakat ini sebanyak tiga kios pandu lalu telah dibuka iaitu dua di Johor dan satu di Melaka, bertempat di Pejabat Pos Besar Melaka, Bukit Baru di sini, yang dilancarkan semalam.

Katanya, kios pandu lalu itu merupakan yang pertama di cawangan Pejabat Pos dan kerjasama itu akan diperluaskan dengan sasaran 10 cawangan fizikal termasuk kios pandu lalu pada tahun depan.

“Pelanggan di Pejabat Pos Besar Melaka berpeluang mendapat potongan harga sebanyak 50 peratus bagi menu minuman yang dibeli dengan hanya menunjukkan resit urusan di sini.

“Selepas ini, kita sasarkan untuk buka empat lagi kios pandu lalu iaitu di Bintulu, Sarawak selain di Kedah dan Pantai Timur dalam masa terdekat.

“Pada tahun hadapan pula, kita sasarkan membuka lapan hingga 10 kios pandu lalu daripada sasaran 80 hingga 100 cawangan fizikal setahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kios BBC Pandu Lalu di Pejabat Pos Besar Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer.

Dalam perkembangan lain, Charles berkata, buat masa ini Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) tidak bercadang untuk membuka pejabat dan cawangan baharu

Menurutnya, keupayaan 629 pejabat dan lebih 1,000 cawangan sedia ada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah mencukupi bagi memberikan perkhidmatan kepada setiap pelosok di negara ini.

“Pejabat Pos Malaysia dan cawangan adalah mencukupi kerana kita berada di semua negeri, bandar dan kampung bagi memberi perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pengguna.

“Adalah tidak wajar untuk kita membuka pejabat dan cawangan baharu kerana itu dilihat tidak praktikal. Apa yang paling penting kita perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dan memastikan Pos Malaysia meraih keuntungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN