VESPA GTV 300, rekaan klasik diperkuat enjin berteknologi terkini

VESPA GTV 300, rekaan klasik diperkuat dengan enjin berteknologi terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKA bentuknya ditiru oleh syarikat-syarikat pengeluar skuter seluruh dunia. Malah reka bentuknya terus-terusan ditiru sehingga ke hari ini. Begitupun, walau ada yang meniru ‘bulat-bulat’ dari segi fizikalnya, kebanyakan daripada mereka tidak berupaya meniru budaya yang disertakan bersama pemilikan skuter ikonik dunia ini.

Mengapakah skuter ini masih lagi laku di pasaran sedangkan beratus-reatus model skuter lain telah wujud untuk memberi saingan? Ikuti laporan hasil tunggang uji yang telah pun saya lakukan.

REKA BENTUK FIZIKAL
Rekaan Vespa GTV telah menarik perhatian peminat tegarnya sejak diperkenalkan pada 2006. Rekaan ‘Faro Basso’ yang bermaksud lampu rendah, yang menekankan kedudukan lampu utama Vespa GTV ini pada bahagian ‘mudguard’ hadapan dan bukannya pada bahagian bar pemegang seperti kebanyakan model-model Vespa yang lain.

Terlanjur bercerita tentang bar handelnya, walau dari hadapan tampak tersembunyi dengan pelindung berwarna jingga, namun bar handel tersebut adalah jenis naked atau terdedah. Jelas pencantuman antara konsep retro dan moden digunakan untuk model ini.

Rekaan klasik GTV juga tampak kekal klasik seperti kebanyakan model-model Vespa yang lain tetapi GTV ini dilengkapkan dengan arus kemodenan dalam bentuk enjin 300 hpe (high performance engine), sistem suntikan bahan api, sejukan cecair, enjin tunggal lengkap dengan 4 injap.

Mengharungi jalan-jalan sibuk bandar raya adalah ‘makanan’ skuter ini dan dilakukan dengan bergaya fizikal klasik tetapi jangan sekali-kali menyangka ia sebuah skuter yang lembab dan perlahan.

Panel meter digital yang boleh menghubungkan alat peranti anda, sistem keyless dan tidak lupa port pengecas peranti yang disertakan menjadikan skuter ini retro hanya pada reka bentuk luaran sahaja.

Satu rekaan kejuruteraan yang sangat menarik perhatian saya pada Vespa ialah penggunaan sistem suspensi hadapannya. Bagi pencinta Vespa, mereka tahu Piaggio asalnya adalah pembuat kapal terbang sekitar Perang Dunia Ke-2 (WW2) dulu.

Selepas perang, Piaggio menggunakan suspensi belakang/ekor kapal terbang untuk dipasang pada bahagian hadapan Vespa dan konsep ini bersifat tradisi diteruskan pada model terbaharu Vespa 2023 ini.

Menggunakan meter digital sepenuhnya. – UTUSAN/ANUAR NORICK

PENGENDALIAN
Ibarat ‘lipas kudung’ adalah perumpamaan yang boleh saya labelkan terhadap kemampuan Vespa GTV 300 ketika penunggangan dalam bandar. Saiz roda yang kecil (12 inci), jarak antara dua roda yang agak dekat (1375 mm) dan kapasiti enjinnya adalah 278cc, ini sudah cukup membuktikan motosikal sekecil ini seperti diletakkan ‘roket’ pada bahagian ekornya.

Malah ketika mengujinya bersama pembonceng, memotong kenderaan di hadapan cukup mudah walau ketika naik bukit. Kuasa tujahan Vespa GTV sangat menakjubkan apabila mampu meninggalkan apa jua skuter lain ketika lampu hijau di perhentian.

Kelajuan tersebut mampu dijinakkan dengan sistem ABS dua channelnya yang mampu memberikan kuasa pemberhentian yang baik dan cemerlang.

Memandangkan bandar raya Kuala Lumpur dikelilingi oleh lebuh raya-lebuh raya yang berselerak menghubungkannya dengan kawasan penempatan di sempadan Lembah Klang, sesi tunggang uji juga saya lakukan di Lebuhraya DASH dan DUKE.

Ketika itulah, dua kelemahan utama Vespa GTV mula dirasai.

Pertama, perasaan `membuai-buai’ ketika mengambil selekoh-selekoh pada kelajuan yang tinggi. Perasaan ini saya jangkakan kerana jarak antara dua rodanya agak pendek dengan saiz tayarnya yang kecil. Dalam kelajuan yang agak tinggi, kestabilan

dirasakan berkurangan dalam pengambilan selekoh-selekoh yang ada. Ini tidak bermaksud sistem suspensinya tidak memuaskan, tetapi, saya jangkakan saiz dan ukuran antara dua rodanya menjadi faktor ketidakstabilan ini.

Kedua, pelana tempat duduk dirasakan terlalu pendek untuk dua orang dewasa menunggangnya. Melainkan yang dibonceng tersebut adalah teman wanita atau isteri anda, kedudukan rapat antara keduanya sudah tentu tidak menjadi masalah.

Faktor ketiga ini, saya rasakan mungkin tidak semua pemilik Vespa akan merungut tentangnya, tetapi sekatan atau power cut ketika kelajuan mencapai 129km/j agak mengecewakan saya. Walau saya sedar ini adalah sebuah skuter urban dan bukannya skuter maxi atau skuter yang besar saiznya untuk ditunggang dengan lebih laju, tetapi faktor ia sebuah skuter 300 agak membuat saya kecewa apabila tidak berjaya mencapai kelajuan 140/150 kmj seperti yang mampu dicapai oleh skuter-skuter 250cc.

Penggunaan teknologi terkini dalam penampilan klasik.

KESIMPULAN
Oleh itu, apakah kelebihan memiliki skuter Italia asli ini?

Jawapannya ialah anda membeli gaya hidup bukan sahaja setakat sebuah jentera. Vespa mempunyai klassifikasi, status serta imejnya yang tersendiri dan bukanlah sebuah jenama rojak atau tidak beridentiti. Memiliki skuter Vespa, anda bakal tergolong dalam kumpulan pencinta skuter klasik, yang tidak semestinya mencari kelajuan semata-mata, malah lebih cenderung ke arah penjenamaan.

Vespa didatangkan dengan barisan barangan sama ada pakaian, jaket, topi, pemegang kunci. Malah, terdapat ribuan barangan lain atau pakaian penunggangan berjenama Vespa yang turut disediakan untuk para peminatnya.

Satu-satunya jenama klasik atau ikonik yang telah wujud sejak 40-an lagi, dan kini digilai oleh anak-anak muda yang mementingkan gaya, persahabatan dan juga identiti. Dipasarkan pada harga RM35,900 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran, adalah sesuatu yang tidaklah diluar jangkauan anak muda tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN