PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan Isnin berikutan sentimen kekal lemah dengan ketiadaan pemangkin baharu, kata peniaga.
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.66 mata kepada 1,439.38 daripada 1,441.04 penutup Jumaat, memetik laporan Bernama.
Indeks dibuka 0.69 mata lebih tinggi pada 1,441.73.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 248 berbanding 62, manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,816 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 174.38 juta unit bernilai RM53.59 juta.
Firma pembrokeran, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, ia menjangka peniaga kekal berhati-hati dan mempertaruhkan kedudukan mereka menjelang musim pendapatan bulan depan.
Katanya, hasil Perbendaharaan AS yang tinggi, ditambah dengan konflik berterusan di Asia Barat dan Rizab Persekutuan AS yang `hawkish’ menghadkan potensi peningkatan di pasaran hadapan tempatan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat.
“Walaupun nada negatif Wall Street, kami mendapati beberapa saham teknologi `bersedia’ untuk meningkat lebih tinggi,” katanya dalam nota kajian.
Firma pembrokeran itu juga memihak kepada sektor tenaga memandangkan harga minyak mentah Brent yang stabil.
“Kami fikir pelabur juga boleh memilih saham defensif dalam sektor telekomunikasi, utiliti dan pengguna,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.98 dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turun tiga sen kepada RM9.79. Semenatra itu, Public Bank naik satu sen kepada RM4.15 dan Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM7.21. dan CIMB tidak berubah pada RM5.62. – UTUSAN










