PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) merancang untuk memuktamadkan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (Rangka Kerja DITO) menjelang separuh pertama 2024.
Bank Pusat itu dalam kenyataan berkata, lebih 50 pihak berkepentingan telah memberikan maklum balas sepanjang tempoh maklum balas Draf Dedahan rangka kerja itu dibuat berakhir pada 28 April 2023.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut BNM telah meneruskan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan secara meluas untuk mempertimbangka maklum balas yang diterima daripada Draf Dedahan berkenaan terutama mengenai model alternatif perniagaan dan operasi serta pendekatan kepada fasa asas.
Jelasnya, input dan maklum balas bernas yang diterima telah memberikan perspektif tambahan, termasuk trend pasaran, bagi membentuk versi akhir dokumen dasar ini.
“Setelah mempertimbangkan maklum balas dan pandangan tambahan yang diperoleh dengan teliti, BNM mengambil peluang untuk memperhalus beberapa aspek Rangka Kerja DITO.
“Langkah ini termasuk penambahbaikan untuk memperjelas model perniagaan yang baru muncul dan inovatif seperti insurans sertaan (embedded insurance) dan insurans sebagai perkhidmatan (insurance-as-a-service).
“Hal ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas daripada peserta dalam rantaian nilai insurans dan takaful yang boleh mencapai hasil dasar yang dihasratkan dalam Rangka Kerja DITO,” katanya.
BNM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan sepanjang tempoh maklum balas itu.
Katanya, pihak yang berminat dialu-alukan untuk terus memberikan maklum balas lanjut atau berbincang dengan BNM mengenai Rangka Kerja DITO menerusi [email protected]. – UTUSAN










