PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) memperkenalkan AireBlue, cecair ekzos diesel berkualiti tinggi di cawangan Kedai Mesra terpilih buat pertama kali.
Usaha itu dicapai melalui kolaborasi bersama syarikat milik penuhnya, Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd. (PCML) dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMMSB).
AireBlue yang mula diperkenalkan pada 2019, kini boleh didapati di beberapa cawangan Kedai Mesra terpilih di Johor, bermula di kawasan Gelang Patah (Selatan), Bayu Senibong, dan R&R Skudai Arah Utara.
“Lokasi strategik ini yang berhampiran dengan Singapura membolehkan PCG turut meluaskan pemasarannya kepada pelanggan dari Singapura,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Menurut Ketua Pegawai Komersial PCG, Shakeel Ahmad Khan, pencemaran udara adalah satu daripada pencemar global terbesar, dan ekzos diesel merupakan penyumbang utama melalui pelepasan Nitrogen Oksida (NOx).
Beliau berkata, pemasaran AireBlue di cawangan Kedai Mesra memberikan pemandu akses kepada alternatif cecair ekzos diesel yang lebih baik di samping memainkan peranan dalam mengurangkan impak kenderaan kepada alam sekitar.
“PCG turut merancang untuk memastikan AireBlue boleh didapati di semua cawangan Kedai Mesra di seluruh negara untuk kemudahan pelanggan pada masa hadapan,” katanya.
PCG berkata, AireBlue merupakan produk AdBlue iaitu cecair ekzos diesel berkualiti tinggi diperbuat daripada reagen berasaskan urea yang berupaya menukarkan NOx yang dilepaskan oleh kenderaan diesel kepada nitrogen dan air.
Apabila digabungkan dengan Sistem Pengurangan Bermangkin Terpilih (SCR) kenderaan, larutan AireBlue ketulenan tinggi membantu mengurangkan pembentukan bendasing, seterusnya menghasilkan pelepasan ekzos yang lebih bersih.
Ini membantu meningkatkan keberkesanan kenderaan dalam mengurangkan pelepasan NOx di samping menambahkan jangka hayat pengubah bermangkin kenderaan diesel.
AireBlue direka oleh PCG sebagai pilihan bermutu tinggi bagi pengguna kenderaan. Ia telah disahkan oleh German Association of the Automotive Industry (VDA) sebagai cecair ekzos diesel berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan produk yang ketat berdasarkan Piawaian ISO 22241-1. – UTUSAN










