Lima inisiatif percepat amalan rendah karbon

Lima inisiatif percepat amalan rendah karbon

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) melancarkan Persidangan JC3 Journey to Zero di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIN AZMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) mengumumkan lima inisiatif utama untuk mempercepatkan peralihan ke arah amalan rendah karbon termasuk skim jaminan portfolio bernilai RM1 bilion untuk pembiayaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Melalui inisiatif tersebut, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) de­ngan kerjasama 18 bank yang mengambil bahagian akan menawarkan skim jaminan portfolio RM1 bilion.

Katanya, pembiayaan ESG ini adalah untuk menyokong akses yang lebih luas kepada pembiayaan untuk perusahan kecil dan sederhana (PKS).

“Inisiatif utama ini adalah untuk mempercepatkan peralihan perniagaan dan petani ke arah amalan rendah karbon.

“Ia menggariskan komitmen JC3 untuk meneruskan tindakan iklim yang dipercepatkan dan menekankan peranan kritikal industri kewangan dalam membolehkan agenda yang mampan untuk negara,” katanya dalam kenyataan sempena Persidangan JC3 Journey to Zero di Sasana Kijang di sini semalam.

Pada persidangan yang sama, JC3 turut mengumumkan inisiatif Menghijaukan Taman Perindustrian, projek rintis kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SIRIM.

Menurutnya, projek tersebut bertujuan untuk melaksanakan peralihan pengurusan taman perindustrian dan operasi syarikat penyewa mereka kepada amalan rendah karbon dan lestari.

“Inisiatif ini termasuk mem­bangunkan infrastruktur seperti pengurusan sisa bersepadu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sistem pengukuran, pemantauan dan pelaporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan juga sistem pengesahan,” ujarnya.

JC3 turut melancarkan Program Penghijauan Rantaian Nilai dengan Bursa Malaysia, yang membolehkan lebih ba­nyak PKS dalam rantaian bekalan Syarikat Tersenarai Awam (PLC) dapat meraih manfaat daripada sokongan pembinaan keupayaan, alat pelaporan pelepasan GHG dan kemudahan kewangan peralihan.

Pada persidangan sama, turut diumumkan Portal Pemula ESG iaitu portal sehenti dalam talian bagi PKS mengakses maklumat asas untuk memulakan peralihan kelestarian mereka menerusi laman web JC3.

“Portal ini mengandungi maklumat yang berguna dan praktikal mengenai program pembinaan keupayaan, skim pensijilan, serta skim kewa­ngan dan insentif. Portal ini turut memaparkan sumber-sumber lain yang berkaitan yang ditawarkan oleh industri kewangan, agensi kerajaan dan organisasi rakan kerjasama lain,” ujarnya.

Sementara itu, JC3 juga memperkenalkan Teknologi Pertanian Hijau (Green AgriTech) iaitu mengambil langkah bagi memperkasakan lagi sektor pertanian.

“Usaha ini melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Malaysia Digital Economy Corporation (KCED) untuk menjadi perintis program Green AgriTech, dengan memberikan tumpuan utama kepada agenda ESG sektor pertanian.

“Program ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan amalan pertanian lestari dalam kalangan petani tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN