Kadar pengangguran dijangka terus menurun

Kadar pengangguran dijangka terus menurun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran di negara ini diunjur pada 3.5 peratus tahun ini, menurun berbanding 3.8 peratus yang direkodkan tahun lalu.

Memandang ke hadapan, Kenanga Research turut menjangkakan kadar pengangguran akan terus menurun kepada 3.3 peratus pada 2024.

Menurutnya, ia berdasarkan pasaran buruh yang kekal stabil pada Ogos, menunjukkan daya tahan dalam menghadapi ekonomi global yang berterusan perlahan.

“Kestabilan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pekerjaan bulan ke bulan yang mampan, disokong oleh inisiatif kerajaan dan pemulihan secara beransur-ansur dalam aktiviti pelancongan berikutan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong.

“Permintaan dalam negeri kekal sebagai tonggak kukuh yang menyokong pertumbuhan ini.” menurutnya dalam nota kajian.

Jabatan perangkaan sebelum ini melaporkan, pasaran buruh kekal stabil pada Ogos dengan kadar pengangguran kekal pada 3.4 peratus untuk bulan ketiga berturut-turut.

Bilangan penganggur pula terus turun kepada 557,300 orang berbanding 579,200 orang pada Julai, terendah sejak Februari 2020 sekali gus menunjukkan bahawa keadaan pasaran buruh secara beransur-ansur kembali ke tahap pra-pandemik.

Pertumbuhan pekerjaan pula berkembang untuk bulan ke-25 berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

Selain itu, penciptaan pekerjaan baharu perlahan sedikit iaitu 19,900 pekerjaan pada Ogos berbanding 27,200 pada Julai, seterusnya turun ke paras terendah tujuh bulan.

Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras rekod pada bulan Ogos iaitu 70.1 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran buruh bersedia untuk mengekalkan kekuatannya sepanjang baki tahun ini, dicirikan oleh memperluaskan aktiviti pengambilan pekerja.

“Justeru, jangkaan kami kekal tidak berubah, dengan purata kadar pengangguran dijangka pada 3.5 peratus dan terus menurun kepada 3.3 peratus pada 2024.

“Selain itu, ramalan pertumbuhan KEluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 kami juga kekal pada 3.5 peratus hingga 4.0 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN