Jutawan BSN SSP berhasrat bawa keluarga ke Mekah

Jutawan BSN SSP berhasrat bawa keluarga ke Mekah

ROSLI Omar bersama replika cek kemenangan selepas dinobatkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium bagi bulan September 2023. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seorang guru yang dinobatkan pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi September, berhasrat membawa keluarganya menunaikan haji.

Rosli Omar, 59, yang berasal dari Kedah berkata, dia memenangi hadiah pertama cabutan kategori guru sebanyak RM50,000 April lalu dan tidak menyangka mendapat rezeki berganda tahun ini.

“Rancangan utama saya adalah untuk ke Mekah mengerjakan haji. Kalau ikut giliran, lambat lagi. Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada saya dapat pergi dengan cepat.

“Saya ingin bawa isteri dan ahli keluarga (berkelapangan) untuk ikut sama, kerana ada antara mereka ada kekangan (bekerja) dan dua anak saya masih belajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah tersebut sempena Majlis Ramah Mesra dan Penye­rahan Sumbangan BSN di Evo Mall di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bapa kepada empat anak yang kini menetap di Bagan Serai, Perak itu menyarankan orang ramai merancang simpanan mereka.

Rosli memberitahu, dia mu­la menyimpan dengan BSN SSP sejak 2009 dengan hanya RM50 tetapi secara konsisten setiap bulan atau dua bulan sekali.

“Bila ada wang atau rezeki seperti pemberian anak-anak, saya akan simpan. Kadang-kadang RM200 dan RM30 pun saya pernah simpan.

“Apa yang penting, kita perlu konsisten dalam menyimpan. Kegagalan merancang adalah merancang untuk gagal,” ujar­nya.

Pada 2023, BSN meningkatkan hadiah BSN SSP kepada RM27 juta untuk lebih 18,000 pemenang.

Sehingga September 2023, BSN telah melahirkan 92 jutawan BS SSP dan tiga lagi pe­langgan BSN akan dinobatkan sebagai jutawan BSN SSP bagi Oktober, November dan Disember, sekaligus melengkapkan 95 jutawan tahun ini .

Sehingga September lalu, penyimpan BSN SSP seramai 4.66 juta dengan jumlah simpanan sebanyak RM5.14 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×