Jualan asing ekuiti Malaysia meningkat kepada RM613 juta

Jualan asing ekuiti Malaysia meningkat kepada RM613 juta minggu lepas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan asing bagi ekuiti Malaysia meningkat kepada RM613 juta minggu lepas, daripada aliran masuk RM10.2 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana mingguannya, firma penyelidikan itu berkata, minggu itu menyaksikan pelabur asing jualan bersih setiap hari, dengan kebanyakan aliran keluar dilihat pada hari Isnin pada RM208.7 juta, dan menjual selama enam hari berturut-turut.

“Hanya terdapat tiga sektor yang menyaksikan belian bersih oleh pelabur asing iaitu utiliti (RM28.5 juta), hartanah (RM20.8 juta) dan REIT (RM5.4 juta).

“Sektor dengan jumlah aliran keluar bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM337.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM100.6 juta) serta telekomunikasi dan media (RM51.4 juta),” katanya.

MIDF berkata, setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.73 bilion.

“Institusi tempatan mengekalkan pendirian belian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut pada RM618.3 juta.

“Mereka membeli bersih setiap hari, dengan aktiviti belian bersih paling kukuh pada Isnin pada RM221.7 juta,” katanya.

MIDF berkata, peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia, walaupun pada jumlah sederhana sebanyak RM5.3 juta berbanding RM147.1 juta minggu sebelumnya.

“Setakat ini, mereka telah menjual bersih RM660.6 juta.

“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak +31.6 peratus manakala pelabur runcit dan institusi menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 2.2 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai senario antarabangsa, MIDF berkata, pasaran global mengalami pergolakan apabila hasil bon Perbendaharaan terus meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 16 tahun.

Ujarnya, hasil Perbendaharaan 10 tahun meningkat kepada 4.91 peratus manakala hasil 30 tahun meningkat kepada 5.01 peratus.

“Dii samping ketegangan geopolitik di Timur Tengah, keputusan korporat bercampur-campur di Wall Street dan Rizab Persekutuan yang membiarkan pintu terbuka untuk kenaikan kadar faedah baharu tidak memberi kesan yang baik kepada pelabur yang membuat pesimisme mereka dirasai dalam pasaran.

“Kesemua 20 indeks yang kami jejaki merosot untuk minggu ini, yang menyaksikan penurunan dalam FBM KLCI (0.21 peratus), Indeks Komposit Jakarta (1.12 peratus) dan Sensex India (1.34 peratus).

“Antara penurunan mingguan paling teruk ialah CSI 300 (4.17 peratus), Ho Chi Minh VSE (4.04 peratus) dan Indeks Hang Seng (3.60 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN