PETALING JAYA: Inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9 peratus pada September 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.3 pada bulan sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2023 meningkat 0.1 peratus disumbangkan oleh Minuman Alkohol dan Tembakau dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan, masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus dan 0.2 peratus.
Sementara itu, inflasi bagi suku tahun ketiga 2023 meningkat 2.0 peratus kepada 130.7 berbanding 128.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
“Bagi perbandingan suku tahunan pula inflasi meningkat 0.4 peratus, kadar yang sama direkodkan pada suku tahun kedua 2023. Inflasi teras kekal pada 2.5 peratus kadar yang sama yang direkodkan pada Ogos 2023, namun ia masih melepasi kadar inflasi negara (1.9 peratus).
“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol iaitu dengan kenaikan 5.1 peratus. Ini diikuti oleh kumpulan Restoran dan Hotel (4.4 peratus) dan Pengangkutan (2.9 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, sebagai perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.9 peratus) lebih rendah berbanding Filipina (6.1 peratus), Zon Eropah (4.3 peratus), Republik Korea (3.7 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Indonesia (2.3 peraus). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.3 peratus) dan China (0.0 peratus).
Beliau memberitahu, 10 negeri merekodkan peningkatan inflasi di bawah paras nasional 1.9 peratus. Walau bagaimanapun, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (2.7 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6 peratus), Perak (2.3 peratus), Perlis (2.2 peratus), Selangor (2.1 peratus) dan Pahang (2.0 peratus).
Mengulas lanjut inflasi pada September, Mohd. Uzir berkata, peningkatan inflasi didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan Restoran dan Hotel sebanyak 4.4 peratus dan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol sebanyak 3.9 peratus.
Selain itu, kata beliau, peningkatan turut disumbangkan oleh kenaikan kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.5 peratus); Kesihatan (2.2 peratus); Pendidikan (2.0 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (1.6 peratus) dan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (1.5 peratus).
Manakala Minuman Alkohol dan Tembakau dan Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.7 peratus dan 0.6 peratus.
Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.9 peratus (Ogos 2023: 4.1 peratus). Komponen Makanan di rumah merekodkan peningkatan 2.5 peratus berbanding 2.9 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
Kenaikan komponen Makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan Beras, roti dan bijirin lain (4.1 peratus). Ini diikuti oleh subkumpulan Daging dan Susu, keju dan telur masing-masing meningkat 3.4 peratus. Sementara itu, bagi komponen Makanan di luar rumah kekal pada 5.9 peratus, kadar sama yang direkodkan pada Ogos 2023.
Sementara itu,subkumpulan Daging yang merangkumi Daging ayam, Daging lembu, Daging babi, Daging kambing, Daging kerbau dan Daging itik mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 3.4 peratus pada September 2023 (Ogos 2023: 5.8 peratus).
“Ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan Daging mencatatkan kenaikan 0.9 peratus berbanding 5.7 peratus pada bulan sebelumnya. Purata harga ayam standard Malaysia meningkat kepada RM10.01 sekilogram berbanding RM9.86 sekilogram pada bulan September 2022 (Ogos 2023: RM10.21).
“Peningkatan pada subkumpulan Daging turut didorong oleh peningkatan Daging babi (17.6 peratus) dan Daging itik (4.7 peratus). Namun, bagi perbandingan bulan ke bulan, subkumpulan Daging telah mencatatkan penurunan kepada negatif 0.9 peratus (Ogos 2023: -1.1 peratus),” katanya. – UTUSAN










