PETALING JAYA: Hextar Technologies Solutions Berhad (HexTech) menceburi bidang teknologi kewangan (fintech) dengan memperkenalkan MoneyX, aplikasi super (super-app) mudah alih sehenti fintech.
Pertama kali dilancarkan pada September 2023 oleh Hextar Vision Sdn. Bhd. (Hextar Vision), unit fintech milik 100 peratus HexTech. MoneyX adalah aplikasi pengurusan maklumat kewangan peribadi yang disokong oleh mekanisme kecerdasan buatan (AI).
Bersempena pelancaran awal, Hextar Vision turut mengumumkan kerjasama dengan lebih 14 rakan kerjasama termasuk Alliance Bank Malaysia Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, M&A Securities Sdn. Bhd., Exsim Development Sdn. Bhd. dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. bagi pengagregatan perkhidmatan mereka di applikasi MoneyX.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif HexTech, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, MoneyX adalah revolusi pengurusan kewangan pengguna, menangani pengurusan kewangan yang tidak teratur serta mempermudah produk kewangan yang mengelirukan selain menyediakan akses lebih pantas bagi mekanisme berkaitan kewangan di pasaran.
Beliau berkata, kerjasama dengan institusi-institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan kewangan memaparkan keterujaan industri terhadap tawaran-tawaran yang direncanakan oleh HexTech dalam ekosistem MoneyX sebagai aplikasi pilihan bagi semua aspek kewangan peribadi.
“HexTech telah meletakkan banyak usaha dalam MoneyX, salah satu daripada inisiatif utama kami bagi merebut peluang dalam sektor teknologi. Matlamat kami terhadap MoneyX adalah untuk menjadi peneraju dan sebuah syarikat fintech terkemuka di Malaysia dalam tempoh tiga tahun seterusnya berkembang ke peringkat global.
“Menerusi peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membangunkan dan mempromosi MoneyX, kami komited menjadikan wawasan ini satu realiti,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi HexTech, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, MoneyX mewakili usaha Kumpulan untuk mengubah pendekatan industri fintech ke arah pengurusan kewangan yang dibantu oleh AI, pada masa yang sama memastikan penerimagunaan teknologi dapat memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat.
“Pendigitalan lebih meluas dalam industri perkhidmatan kewangan akan menjadikan perkhidmatan itu menjadi lebih pelbagai serta mudah diakses, seiring dengan cita-cita industri untuk menyediakan ‘kewangan untuk semua’ sepertimana yang ditekankan oleh Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 oleh Bank Negara Malaysia.
“Bagaimanapun, lanskap yang sentiasa berubah ini menjadi lebih mencabar untuk dikemudi pengguna dan memanfaatkan peralatan dengan tepat agar menjadi lebih cekap dalam menguruskan kewangan mereka,” katanya. – UTUSAN










