G-Shock pamer koleksi ulang tahun ke-40 di Pavilion Kuala Lumpur

G-Shock pamer koleksi ulang tahun ke-40 di Pavilion Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: G-Shock, rangkaian jam tangan daripada Casio akan mempamerkan koleksi ulang tahun ke-40 pada acara jelajah ‘pop-up’ di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur bermula 23 hingga 29 Oktober 2023.

Koleksi tersebut termasuk Clear Remix series, Remaster Black series, Recrystallized series, Adventurer’s Stone series, Flare Red series dan jam tangan kerjasama G-SHOCK x Eric Haze yang dinanti-nantikan.

Sepanjang acara ‘pop-up’ selama seminggu, pelawat akan memulakan perjalanan yang mengasyikkan dengan kembali ke masa lalu bersama G-SHOCK, menyaksikan evolusi jenama tersebut.

Daripada penciptaan perintis G-Shock DW-5600C pada 1983, yang menandakan kejayaan dalam teknologi jam tangan digital, kepada status ikonik semasanya, yang menunjukkan ketahanan dan inovasi (GA-2100), pelawat akan mendapat peluang unik untuk menyaksikan transformasi jenama yang luar biasa itu.

Pengarah Urusan Casio Malaysia Sdn. Bhd., Ino Hirofumi berkata, ‘pop-up’ tersebut adalah acara serantau di Asia Tenggara dan Malaysia adalah lokasi terakhir.

Katanya, acara tersebut dibuat bagi menunjukkan kepada orang ramai mengenai ketahanan jenama sejajar dengan temanya iaitu “Rooted in Toughness”.

“Jenama G-Shock mendapat permintaan yang agak tinggi di Malaysia. Acara seperti ini membolehkan kami untuk memperkenalkan lagi jenama ini kepada golongan muda.

“Sasaran kami adalah golongan muda seperti generasi Z, peminat e-sukan, peminat bola sepak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran acara ‘pop-up’ sempena ulang tahun ke-40 di Pavilion Kuala Lumpur di sini, semalam.

Acara itu juga menampilkan potret beberapa artis daripada kolektif muzik terkenal, 88rising, termasuk Rich Brian, Warren Hue, Spence Lee, Dumbfounded, Ylona Garcia, Milli, Atarashii Gakko!, Niki dan Stephanie Poetri.

Pengunjung berpeluang membeli kemeja-T edisi terhad G-SHOCK x 88rising eksklusif, berharga RM139 setiap satu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN