Carro sasar jualan 6,000 unit sebulan bagi tahun kewangan 2024

Carro sasar jualan 6,000 unit sebulan bagi tahun kewangan 2024

PROSES baik pulih kenderaan sedang dibuat di Pusat Baik Pulih myTukar di Subang. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform kereta terpakai Carro yang juga syarikat induk myTukar, menyasarkan jualan sebanyak 6,000 unit borong dan runcit sebulan bagi tahun kewangan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng berkata, berbanding tahun lalu, sebanyak 3,000 unit jualan kenderaan secara borong dan runcit sebulan.

“Bagi tahun lalu, kami hanya menjual sebanyak 450 unit sebulan. Bagaimanapun, kami telah berkembang sebanyak 215 peratus dalam sektor runcit dalam tempoh beberapa bulan pertama tahun ini berbanding pertumbuhan 85 peratus pada 2022.

“Kami berharap dapat memperkukuhkan pusat baik pulih dan menyediakan kereta terpakai berkualiti tinggi seperti kereta baharu,” katanya kepada pemberita selepas program bersama media di pusat baik pulih kereta MyTukar di Subang Jaya, hari ini.

Pusat baik pulih tersebut yang berkeluasan 95,832 kaki persegi, akan dijenamakan semula kepada Carro Care dalam tempoh beberapa bulan akan datang hasil kerjasama strategik bersama Jardine Cycle & Carriage.

Sehingga kini, terdapat 14 pusat baik pulih dan bengkel Carro di Asia Tenggara yang akan dijenamakan semula kepada Carro Care secara berfasa bermula tahun hadapan dan kini, mampu membaik pulih sebanyak 2,800 kereta sebulan.

Dalam pada itu, Derrick memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan enam syarikat insurans bagi menyediakan perlindungan kepada pemilik kereta myTukar.

“Kini, terdapat enam syarikat yang telah menghantar sebut harga dan akan berada dalam platform myTukar dan pembeli boleh memilih syarikat insurans yang sesuai,” katanya.

Carro yang ditubuhkan pada 2015, merupakan platform pasaran kereta terpakai dalam talian terbesar Asia Tenggara kini beroperasi merentasi Asia Pasifik termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan turut melebarkan sayapnya ke Jepun dan Taiwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN