PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada mesyuarat dasarnya bulan depan dan menjelang 2024 walaupun tekanan semakin meningkat, menurut UOB.
Pasukan Penyelidikan Ekonomi dan Pasaran Global UOB berkata pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Jumaat lepas menandakan pertumbuhan sederhana di bawah par dan tidak akan menyokong langkah untuk menaikkan kadar pada November.
DOSM buat pertama kalinya, mengeluarkan unjuran lanjutan untuk KDNK Malaysia pada Jumaat lepas, menganggarkan ia berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya, disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Anggaran awal KDNK, hampir dengan ramalan awal UOB sebanyak 3.5 peratus, dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha DOSM untuk memenuhi permintaan bagi statistik makroekonomi yang tepat pada masanya, selaras dengan amalan terbaik di negara maju.
Selain itu, UOB menyatakan bahawa inflasi utama Malaysia, seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna (CPI) menurun kepada pertumbuhan 1.9 peratus pada September 2023, terendah sejak dua setengah tahun yang lalu.
Walaupun kadar inflasi rendah, UOB menekankan peningkatan risiko terhadap prospek inflasi domestik untuk tahun depan, terutamanya apabila kerajaan merancang untuk memperkenalkan subsidi bersasar untuk elektrik, diesel, ayam dan telur.
“Ia termasuk langkah kerajaan untuk mengenakan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi ke atas lebih banyak sektor perniagaan kecuali untuk makanan dan minuman, dan perkhidmatan telekomunikasi dan meluaskan skop perkhidmatan bercukai untuk merangkumi perkhidmatan logistik, pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke.
“Oleh itu, kami yakin BNM akan mengekalkan OPR tidak berubah pada bulan depan dan menjelang 2024 walaupun tekanan semakin meningkat untuk mengetatkan lagi,” kata UOB.
BNM dijangka mengumumkan data rasmi KDNK suku ketiga 2023 pada 17 November 2023.
Selain itu, BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhirnya untuk tahun ini pada 1 dan 2 November bagi memutuskan OPR.
Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah pada Mei 2023, dengan kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus.
UOB berkata, tekanan untuk menaikkan kadar semakin meningkat selepas data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh menilai semula kemungkinan untuk kadar Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih tinggi, ringgit merosot ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997 dan kenaikan kadar mengejut oleh Bank Indonesia Khamis lalu untuk menahan kejatuhan rupiah.
Walaupun asas ekonomi dan kewangan Malaysia kekal kukuh, ringgit jatuh ke paras paling lemah sejak Krisis Kewangan Asia pada 4.7703 berbanding dolar AS Khamis lepas dan ditutup pada 4.7677 pada Jumaat lepas, mengakibatkan penurunan 7.6 peratus setakat tahun ini.
“Ringgit dibebani oleh jangkaan kadar Fed yang lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama, permintaan untuk aset dolar AS yang selamat dan kebimbangan berlarutan terhadap risiko penularan daripada sektor hartanah China.
“Perkara sama turut melanda mata wang Asia lain dan kebanyakannya berada di landasan untuk ditutup lebih rendah berbanding dolar AS tahun ini, walaupun dalam pelbagai peringkat,” katanya.
Walaupun ringgit semakin lemah, UOB menjelaskan, rasional di sebalik gesaannya untuk OPR tidak berubah ialah kenaikan 25 mata asas lagi dalam kadar tidak akan mencukupi untuk menutup jurang kadar faedah dengan kadar AS dan merangsang keyakinan pasaran terhadap ringgit dengan jurang semasa pada -250bps.
“Selain itu, landskap global pada masa ini sangat tidak menentu dicetuskan oleh keraguan terhadap laluan kadar masa depan Fed, masalah hartanah China dan ketegangan geopolitik baharu yang menyebabkan risiko pertumbuhan menurun,” ujarnya.
Jangkaan semasa AS$/RM UOB ialah 4.70 menjelang akhir 2023, 4.55 pada suku pertama 2024 dan 4.48 pada suku kedua 2024. – UTUSAN










