Nilai jualan sektor pembuatan merosot - Utusan Malaysia

Nilai jualan sektor pembuatan merosot

Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM144 bilion, menurun sebanyak 3.0 peratus pada Julai 2023. – GAMBAR HIASAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM144 bilion, menurun sebanyak 3.0 peratus pada Julai 2023, dipengaruhi oleh subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang mencatatkan penurunan berterusan kepada negatif 15.3 peratus pada bulan tersebut.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia adalah kemerosotan bulan kedua berturut-turut pada Julai 2023, mengecil kepada negatif 3.0 peratus tahun ke tahun
daripada negatif 4.0 peratus pada bulan sebelumnya.

“Penurunan itu juga dipengaruhi penyusutan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (-7.8 peratus); dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-0.6 peratus).

“Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan menurun sebanyak 2.4 peratus berbanding RM147.4 bilion yang direkodkan pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.1 peratus daripada jumlah jualan terus merosot sebanyak 7.0 peratus pada Julai 2023 daripada -7.4 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ia disebabkan industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang turun -25.6 peratus; pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-18.5 peratus) dan pembuatan produk getah (-10.8 peratus).

“Namun, prestasi industri berorientasikan domestik kekal menggalakkan, mencapai 9.2 peratus pada Julai 2023 berbanding 6.8 peratus pada Jun 2023, seterusnya mengurangkan impak kemerosotan dalam industri berorientasikan eksport,” ujarnya.

Kata beliau, momentum stabil bagi industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam nilai jualan bagi industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler, mencatatkan 22 peratus manakala industri pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan serta pembuatan produk prosesan makanan masing-masing meningkat
sebanyak 9.7 peratus dan 8.5 peratus.

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 1.0 peratus, manakala industri berorientasikan eksport kembali ke jajaran negatif dengan penurunan sebanyak 3.6 peratus,” ujarnya.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd. Uzir menambah, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.34 juta orang pada Julai 2023, meningkat 1.7 peratus berbanding 2.30 juta orang yang direkodkan setahun lalu.

“Purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun dengan nilai RM3,390 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja turun 4.6 peratus kepada RM61,518,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya