KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk mengiktiraf sekurang-kurangnya lima bandar pintar menjelang 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan bandar pintar, kementerian akan melaksanakan program reformasi bandar pintar bermula tahun ini.
Kata beliau, program tersebut akan diadakan berdasarkan petunjuk standard antarabangsa ISO 37122 2019 Bandar Mampan dan Komuniti untuk bandar pintar.
“Sistem penarafan itu akan mengiktiraf kerajaan tempatan yang giat melaksanakan inisiatif bandar pintar dan mereka akan diberi sejenis ganjaran.
“Garis masa yang diberikan adalah sehingga 2025, jadi sebelum boleh mengenali bandar pertama yang akan menjadi perintis daripada lima bandar pintar itu, kita perlu membuat penarafan bandar pintar terlebih dahulu.
“Kami sedang meneliti 85 indikator yang perlu dipenuhi mengikut MS ISO. Walaupun berbaki masa lebih kurang 2 tahun saya percaya kami boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima bandar diiktiraf sebagai bandar pintar menjelang 2025,” katanya pada sidang akhbar persidangan antarabangsa Bandar Mampan Bertaraf Dunia 2023 (WCSC 2023) di sini, semalam.
Selain itu, ujarnya, kerajaan juga sedang berusaha melaksanakan undang-undang ataupun akta untuk membolehkan pembangunan lama diperbaharui atau dibangunkan semula.
Sebagai contoh, jelasnya, menurut maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terdapat sebanyak 139 pembangunan lama di kawasan pentadbiran DBKL yang dirancang untuk dibangunkan.
Bagaimanapun katanya, terdapat cabaran untuk melakukan pembangunan semula itu kerana terdapat beberapa syarat yang tidak dapat dipenuhi.
“Antaranya, perlu mendapatkan 100 peratus persetujuan daripada pemilik sebenar untuk membangunkan semula bangunan itu. Masalah akan timbul apabila pemilik tidak dapat dicari kerana bangunan itu sudah terlalu lama.
“Tanpa mempunyai akta, perkara ini tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah. Justeru, kementerian sasar untuk mengeluarkan akta ini pada tahun depan yang akan diumumkan oleh Menteri KPKT sendiri,” katanya. – UTUSAN










