Wabak Ebola ragut lebih 500 nyawa di Congo - WHO

Wabak Ebola ragut lebih 500 nyawa di Congo – WHO

PETUGAS kesihatan berada di dalam 'zon merah' pusat rawatan wabak Ebola di Butembo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINSHASA: Lebih 500 orang dilaporkan maut akibat wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo (DRC), menurut angka terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Jumlah terbaharu yang dikeluarkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan sebanyak 1,561 kes disahkan berlaku di Congo sejak wabak tersebut diisytiharkan pada pertengahan Mei, termasuk 506 kematian.

Dua lagi kematian turut direkodkan di negara jiran, Uganda, namun keadaan di negara itu dilaporkan lebih terkawal. Uganda merekodkan 16 pesakit pulih daripada keseluruhan 20 kes yang disahkan.

Angka WHO di Congo, yang diperoleh daripada pihak berkuasa kesihatan negara itu, menunjukkan kadar kematian akibat wabak berkenaan mencecah 32 peratus.

Seramai 254 pesakit pulih, manakala 354 kes disyaki jangkitan demam berdarah virus itu kini masih dalam siasatan.

Wabak di timur laut Congo itu menjejaskan empat wilayah, namun sebahagian besar kes tertumpu di wilayah Ituri.

Wabak berkenaan berpunca daripada spesies Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku, yang setakat ini belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.

Percubaan terhadap dua rawatan berpotensi untuk Ebola jenis Bundibugyo bermula di Congo pada Khamis.

Kajian itu menilai tahap keselamatan dan keberkesanan antibodi monoklonal MBP134 serta ubat antivirus remdesivir, sama ada digunakan secara berasingan atau dalam kombinasi.

Angka 500 kematian disahkan itu berlaku ketika negara anggota WHO kembali mengadakan rundingan bagi melengkapkan bahagian yang masih belum dimuktamadkan dalam perjanjian pandemik bersejarah yang dipersetujui tahun lalu, bertujuan mengelakkan pengulangan keadaan tidak teratur dalam tindak balas antarabangsa terhadap pandemik Covid-19.

“Pandemik seterusnya tidak akan menunggu sehingga kita bersedia. Wabak Ebola yang masih berlaku di DRC ketika ini adalah bukti mengenainya. Ia bukan sekadar senario hipotesis yang jauh seperti dalam dokumen taklimat. Ia sedang berlaku.

“Ebola mungkin bukan pandemik seterusnya. Namun, ia menjadi peringatan, satu peringatan yang menyakitkan, bahawa ancaman itu tidak pernah benar-benar hilang,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika memberi amaran kepada negara-negara anggota semalam.

Virus berkenaan merebak melalui hubungan rapat serta cecair badan daripada individu yang dijangkiti.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN