Bursa Malaysia, Indonesia, Thailand jalin kerjasama

Bursa Malaysia, Indonesia, Thailand jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bursa Saham Indonesia (BEI) dan Bursa Saham Thailand (SET)  untuk meneroka penubuhan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) antara wilayah.

MoU itu turut menandakan satu peristiwa penting dalam meningkatkan kerjasama serantau dan memajukan kelestarian di ASEAN, sekali gus menandakan komitmen untuk menghijaukan rantaian bekalan, selain mengiktiraf potensi untuk mengoptimumkan kesalinghubungan dan kebolehbandingan data ESG dalam kawasan tersebut.

Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, Bursa Malaysia, BEI dan SET menyasarkan untuk bekerjasama memacu penggunaan amalan ESG yang baik dan memacu pertumbuhan yang bertanggungjawab dalam pasaran masing-masing, sambil menawarkan peluang rentas sempadan yang berkaitan dengan pelaburan ESG di ketiga-tiga pasaran.

Kerjasama itu bertujuan untuk mengenal pasti persamaan dalam ekosistem ESG ASEAN untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan, meluaskan peluang perniagaan dan memajukan kelestarian pembiayaan untuk syarikat dari semua saiz dan rantaian bekalan mereka di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, melalui perkongsian itu, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kerjasama rentas sempadan kerjasama dan merebut peluang untuk mengharmonikan langkah ESG dan infrastruktur ESG yang menggalakkan amalan perniagaan yang mampan di ASEAN.

“MoU ini mewujudkan asas untuk kerjasama serupa dengan bursa lain yang berminat di Asia dan meletakkan asas yang kukuh untuk melibatkan rakan kongsi dari utara global juga,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah BEI, Iman Rachman berkata, kerjasama itu mencerminkan visinya untuk mencipta masa depan yang mampan untuk pasaran modal BEI.

“Kami percaya bahawa kerjasama adalah kunci dalam memacu perubahan positif di rantau ini dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan SET dalam membangunkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN