PETALING JAYA: Sukuk Musharakah Sime Darby Property (SDP) terlebih langganan lebih lapan kali, dengan pesanan mencecah RM4.8 bilion, mengatasi sasaran awal bernilai RM600 juta.
Menurut syarikat hartanah itu, sebanyak RM200 juta daripada terbitan Sukuk diperuntukkan sebagai Sukuk Pelaburan Mampan, yang mengukuhkan lagi dedikasi SDP terhadap kewangan mampan.
Ia selari dengan Skim Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment (SKI) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Skim SRI) dan/atau Piawaian Bon Lestari ASEAN yang dikeluarkan oleh ASEAN Capital Markets Forum (Piawaian Bon Lestari ASEAN).
Jelasnya, minat daripada pelabur kekal sepanjang proses pembinaan buku, dengan pengetatan harga sebanyak 5 hingga 12 mata asas merentasi tawaran Sukuk 3 tahun, 5 tahun dan 7 tahun dengan kadar keuntungan akhir masing-masing sebanyak 4.08 peratus, 4.14 peratus dan 4.28 peratus setahun.
“Ini menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap kredit kukuh dan kedudukan utama Sime Darby Propery dalam sektor pembangunan hartanah.
“Sejajar dengan Matlamatnya sebagai Pengganda Nilai Kepada Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet, Syarikat bersedia untuk menggunakan hasil daripada Sukuk bagi menyokong pelaburan masa depan, sambil menambah baik struktur modalnya dan mengoptimumkan pengurusan hutang,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Azmi Merican berkata, langganan berlebihan Sukuk yang ketara menggambarkan keyakinan pasaran terhadap Syarikat, dan mengukuhkan kedudukan SDP sebagai pemaju hartanah terkemuka negara.
Beliau berkata, SDP komited dalam mengekalkan saluran kewangan yang teguh.
“Program Sukuk Musharakah membuktikan komitmen ini dengan menyalurkan sumber untuk menyokong transformasi kami daripada pemaju hartanah tertumpu kepada perusahaan hartanah holistik, yang selari dengan Matlamat Kelestarian 2030 Syarikat” katanya.
Jelasnya, hasil daripada terbitan Sukuk Musharakah SRI Lestari ASEAN akan diuruskan mengikut kriteria yang ditetapkan di bawah Kerangka Sukuk Lestari Sime Darby Property dan Skim SRI dan Piawaian Bon Lestari ASEAN yang berkaitan.
Rangka kerja itu menggariskan peruntukan hasil Sukuk yang mampan, penilaian projek yang layak, pengurusan dana yang teliti serta pelaburan impak yang telus.
Program Sukuk Musharakah Sime Darby Property telah diiktiraf dengan AA+IS serta tinjauan yang stabil oleh MARC Ratings Berhad.
Maybank Investment Bank Berhad adalah Penasihat dan Pengatur Utama (Principal Adviser dan Lead Arranger) bagi Program Sukuk Musharakah dan merupakan Pengurus Utama Bersama (Joint Lead Manager) dengan CIMB Investment Bank Berhad dan Public Investment Bank Berhad untuk terbitan sukuk. – UTUSAN










