PETALING JAYA: PT Ihsan Digital Nusantara (PT Ihsan) dan PT Industri Telekomuniasi Indonesia (PERSERO) (PT INTI) menjalin kerjasama strategik bagi platform emas digital iMas.
Kerjasama itu bagi merebut peluang pasaran platform patuh syariah yang wujud di rantau ini, berikutan terdapat ramai orang Islam.
Perkongsian itu bukan sahaja mendorong kemajuan teknologi, tetapi juga menangani permintaan pasaran yang penting dan kurang mendapat sambutan, jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, inisiatif perintis itu iaitu platform emas digital iMas pada INTI Cloud, menunjukkan kepercayaan terhadap kepimpinan berwawasan dan inovasi transformatif yang mentakrifkan PT Ihsan Group dan PT INTI.
“Tambahan pula, menerusi kerjasama dan sokongan PT INTI, platform emas digital iMas bakal menjalin penglibatan yang berasaskan komuniti dan menjangkau rangkaian secara meluas. Ia sekaligus memantapkan kedudukannya dalam penyelesaian perintis yang bukan sahaja merevolusikan landskap digital tetapi juga memupuk hubungan yang bernilai dalam kalangan pemegang taruh.
“Apabila perkongsian ini mula berkembang, kedua-dua organisasi bersedia untuk terus kekal pada landskap digital sebagai persediaan masa hadapan.
“Ia berfungsi sebagai penyelesaian cemerlang yang berintegrasi dengan lancar bersama kepimpinan berwawasan bagi menangani keperluan khalayak antarabangsa serta berpegang kepada prinsip inovasi, keterangkuman dan pematuhan syariah,” katanya.
Majlis pemeteraian kerjasama itu berlangsung di Bandung, Indonesia dan dihadiri oleh Pengerusi PT Ihsan, Datuk Seri mahmud Abu Bekir Taib; Timbalan Pengerusi PT Ihsan Group, Datuk Seri Dr. Chew Han Ching dan Direktur Utama (Pengarah Presiden) PT INTI, Edi Witjara.
Mahmud Abu Bekir berkata, Kumpulan berada di ambang perjalanan transformatif dan kerjasama antara PT Ihsan Group dan PT INTI merupakan bukti keazaman bersama mereka untuk memacu inovasi dan mendorong industri maju ke hadapan.
“Platform emas digital iMas pada INTI Cloud menggambarkan dedikasi bersama kami untuk merintis kemajuan bagi mempertingkatkan kehidupan individu dan perniagaan,” katanya.
Chew Han pula berkata, kerjasama itu merupakan sinergi strategik yang memanfaatkan kekuatan kedua-dua entiti.
“Tumpuan dari segi pandangan industri secara meluas yang dimiliki PT Ihsan Group dan kehebatan teknologi PT INTI membolehkan kami berada pada kedudukan unik untuk meneroka era baharu pelbagai kemungkinan,” katanya.
PT Ihsan Group, syarikat induk teknologi kewangan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, berdedikasi untuk melahirkan kerjasama perniagaan Malaysia dan antarabangsa menerusi pelbagai portfolio produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh anak syarikatnya.
PT INTI pula merupakan perusahaan milik kerajaan Indonesia dalam industri teknologi yang ditubuhkan secara rasmi pada 30 Disember 1974.
Syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Bandung, mempunyai pelbagai portfolio yang merangkumi pengilangan, integrasi sistem dan perkhidmatan digital.
Dalam perkhidmatan digital, PT INTI mengendalikan barisan perniagaan yang menawarkan perniagaan ke perniagaan perdagangan SIPLah, sistem pengurusan hospital pintar, analitik data raya, internet kebendaan, pertahanan siber dan sistem kerajaan elektronik. – UTUSAN










