LUMUT: Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) bersebelahan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mampu memperluas rantaian produk halal khususnya berasaskan daging, dari negeri ini sehingga ke peringkat global.
Ini kerana kedudukan lokasi Perak HIP yang strategik dan rantaian perhubungan ke Pelabuhan Lumut di sini, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya, menjelaskan Perak HIP yang akan dibangunkan di atas tanah milik agensi itu seluas 43 hektar diunjurkan memiliki nilai pelaburan kasar (GDV) bernilai RM1 bilion.
Menurutnya, ia akan dibangunkan secara berfasa mulai tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan dijangka mampu menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat.
“Tujuan utama pembangunan ini, adalah untuk meningkatkan pengeluaran daging halal di Malaysia, memperkukuh rantaian bekalan yang mapan dan berteraskan integriti, serta untuk memperluas jangkauan produk halal kita ke pasaran global.
“Fokus pembangunan ini adalah kepada aktiviti daging halal. Walau bagaimanapun, pembangunan ini juga dibuka untuk lain-lain aktiviti dan produk halal,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi PPPNP, melancarkan majlis pecah tanah projek itu.
Menurut Yahanis, PPPNP telah memulakan program pembangunan industri lembu tempatan tahun lalu dengan pembelian 2,400 ekor lembu daripada lebih 50 penternak tempatan, telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan industri ini.
Jelasnya, melalui program itu, PPPNP telah membelanjakan RM16.4 juta bagi pembelian lembu daripada penternak-penternak tempatan yang bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada penternak, tetapi juga mendorong peningkatan kualiti dan kuantiti daging yang dihasilkan.
Justeru, pembangunan Perak HIP adalah kesinambungan daripada program lembu tempatan untuk memastikan industri ini diteruskan pada skala yang lebih besar.
Beliau memberitahu, Perak HIP bukan semata-mata sebuah taman industri biasa tetapi ia merupakan sebuah taman yang bakal dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) daging halal, pusat pemprosesan ayam, dan kilang pemprosesan makanan haiwan.
Jelasnya, taman itu akan menjadi hab kecemerlangan dalam industri makanan halal sekali gus mencerminkan dedikasi dan hasrat untuk meningkatkan kualiti produk halal yang dihasilkan di Malaysia.
Ujar beliau, Perak HIP akan dilengkapi dengan infrastruktur dan fasiliti terkini, sekali gus diharap dapat menarik pelaburan domestik dan antarabangsa, memacu inovasi, serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Perak dan Malaysia secara keseluruhannya.
Beliau memaklumkan, pelabur akan dilengkapi Pensijilan Halal Malaysia yang akan memberi kelebihan dalam menembusi pasaran eksport global.
Jelasnya, Perak HIP turut menerima sokongan pelbagai insentif kerajaan, terutamanya insentif yang ditawarkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Malaysia (MIDA). – UTUSAN










