PETALING JAYA: KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) dianugerahkan tempat pertama bagi Tempat Kerja SOHELP (Systematic Occupational Health Enhancement Level Programme) DIY Terbaik (Kategori 3).
Majlis penganugerahan berlangsung di Konvensyen SOHELP DIY Kebangsaan di IDCC, Shah Alam, baru-baru ini.
SOHELP diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dalam usaha meningkatkan tahap pengurusan higien industri di tempat kerja terutamanya dalam aspek kawalan pendedahan bunyi bising, pengurusan bahan kimia dan ergonomik.
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ts. Mustapha Sakmud kepada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KMI Kuantan, Mohd Nashriq Ismail yang juga Enabler kepada SOHELP DIY.
Menurut KMI Kuantan, Syarikat telah mengambil langkah penambahbaikan dalam menguruskan beban untuk mengelakkan masalah ergonomik kepada pekerja.
“Kawasan bunyi bising berlebihan dikenalpasti seterusnya langkah kawalan diambil untuk memastikan pekerja tidak terdedah kepada bunyi bising. Mengelakkan pendedahan bahan kimia kepada pekerja dengan mengambil kira kawalan kejuruteraan antara usaha yang dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di hospital sehingga berjaya memenangi anugerah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, KMI Kuantan ialah satu daripada lima hospital di bawah rangkaian Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad.
Sejak penubuhannya pada 1996, KMI Kuantan telah berkembang pesat menjadi hospital pakar mesra komuniti yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan kapasiti 176 katil serta kini lengkap dengan akreditasi MSQH.
Jumlah tersebut bakal ditambah melalui pembinaan sayap baharu yang akan menempatkan 80 katil tambahan serta fasiliti lain yang lebih moden dan canggih. – UTUSAN










