KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bertemu dengan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi (telco) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu caj peralihan perkhidmatan ke 5G.
Menterinya, Fahmi Fadzil bagaimanapun memberitahu, tidak semua telco mengenakan caj peralihan perkhidmatan itu, sebagai contoh, YTL Communications.
Beliau pada masa yang sama berharap, telco dapat menyelesaikan segera proses peralihan perkhidmatan ke 5G (agar dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna).
Fahmi menarik perhatian, isu kenaikan caj perkhidmatan itu turut dibangkitkan oleh isteri beliau yang teragak-agak untuk beralih kepada 5G, sedangkan sebelum ini tiada caj dikenakan sewaktu bertukar dari 3G kepada 4G.
“Itu adalah satu soalan yang betul dan saya akan berjumpa dengan ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat ini tidak lama lagi.
“Pada 31 Ogos nanti iaitu pada Hari Merdeka akan diumumkan pakej Rahmah 5G dan saya berharap isu ini juga (caj peralihan perkhidmatan) dapat diselesaikan menjelang tarikh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam (IDE) 2023 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, semalam.
Sementara itu, Fahmi menambah, liputan rangkaian 5G telah mencapai 66.8 peratus daripada kawasan berpenduduk setakat Julai lalu.
“Kita kini kurang 14 peratus untuk mencapai sasaran 80 peratus yang ditetapkan, ia dijangka akan dicapai pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” ujarnya.
Mengenai IDE, beliau berkata, persidangan itu diadakan untuk memupuk kerjasama dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor ekonomi digital Islam.
“IDE merupakan satu sektor penting dalam pengagihan kekayaan dan sumber yang inklusif selaras visi Malaysia MADANI.
“IDE juga merupakan satu daripada sembilan bidang tumpuan utama di bawah inisiatif strategik nasional, Malaysia Digital (MD) dalam membantu MDEC memastikan hala tuju yang tepat menerusi Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN),” jelas beliau.
Pada persidangan itu, MDEC telah memperkenalkan 15 syarikat sebagai MD Tasree` untuk menerajui penglibatan industri, penjanaan idea, mempromosi projek perintis, pengkomersialan penyelesaian teknologi dan menjadi saluran yang kukuh bagi agenda MD PEMANGKIN. – UTUSAN










