Kembalikan keyakinan terhadap program perumahan awam 

Kembalikan keyakinan terhadap program perumahan awam 

Lokasi pekerjaan pemohon bukan antara syarat yang ditetapkan bagi permohonan lanjutan tempoh penyewaan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menggariskan strategi-strategi terperinci dalam Belanjawan 2024 untuk mengembalikan keyakinan terhadap program perumahan awam.

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Sheldon Fernandez berkata, polisi lebih bersasar dalam memastikan akses yang lebih baik kepada hartanah, seiring dengan pemantauan pasaran yang cekap, akan dapat membantu rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.

Beliau berkata, dalam tempoh mencabar ini di mana wujud ketidakpanan yang ketara antara harapan penjual dan bajet pengguna, terpancar sinar harapan apabila melihat kerajaan terus mengambil langkah untuk menangani kebimbangan yang berterusan itu.

Ia susulan rancangan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan untuk mengkaji semula Dasar Perumahan Negara (DRN) supaya selaras dengan rangka kerja Malaysia Madani.

“Ini adalah masa paling tepat kerana DRN yang dibentangkan pada tahun 2018 nampaknya sudah tidak diutamakan lagi. PropertyGuru memuji tindakan terbaru kerajaan untuk mengkaji semula DRN dan kami teruja untuk melihat pelaksanaan strategi-strategi baru yang dinyatakan dalam Inisiatif Ekonomi Madani, yang akan memandu pasaran perumahan kepada lebih inklusif dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, laporan pasaran hartanah dikeluarkan oleh PropertuGuru Malaysia 3Q 2023 menunjukkan, bakal pembeli rumah di negara ini terus bertahan mendepani harga permintaan yang lebih tinggi di persekitaran landskap ekonomi yang mencabar.

Laporan tersebut mencatatkan trend pertanyaan hartanah di laman web PropertyGuru.com.my dengan Indeks Permintaan Jualan merosot sebanyak 10.2 peratus dari suku ke suku.

Sheldon berkata, trend itu selari dengan data terkini yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di mana permohonan pinjaman perumahan mengalami penurunan sebanyak 11 peratus suku ke suku pada Jun lalu.

Kata beliau, permintaan yang lebih rendah daripada bakal pembeli rumah berkemungkinan berkait rapat dengan Indeks Harga Jualan yang meningkat sebanyak 2.1 peratus suku ke suku, mencerminkan kenaikan berterusan harga permintaan untuk hartanag yang disenaraikan.

“Data yang dihasilkan oleh PropertyGuru.com.my terus menyaksikan penurunan dalam permintaan hartanah, dengan Q2 2023 adalah suku keempat yang secara berterusan menunjukkan jurang ketara antara permintaan dan harga hartanah.

“Walau bagaimanapun, kami berharap untuk melihat peningkatan dalam minat pengguna terhadap hartanah disebabkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3 peratus. Dengan kadar pinjaman semasa yang masih lebih rendah daripada kadar pra-Covid iaitu 3.25 peratus, kami berharap permintaan akan mula meningkat kerana inflasi Malaysia yang semakin mereda,” katanya.

Walaupun laporan tersebut menyaksikan trend menurun dalam pertanyaan hartanah, terdapat kawasan-kawasan di seluruh Malaysia yang semakin menjadi pilihan di kalangan bakal pembeli rumah. Pada suku kedua, hasil kajian oleh PropertyGuru menunjukkan peningkatan pertanyaan di Cheras, Kuala Lumpur.

Permas Jaya, Johor juga menyaksikan peningkatan minat dalam pasaran hartanahnya, didorong oleh faktor-faktor seperti kemampuan, kedekatan dengan Singapura, dan potensi pelaburan jangka panjang.

Berikutan penurunan dalam permintaan pembelian, Indeks Permintaan Sewa juga mencatatkan kemerosotan sebanyak 11.3 peratus suku ke suku.

Ini boleh disebabkan oleh kenaikan harga sewa yang melebihi bajet ramai bakal penyewa, seperti yang digambarkan oleh kenaikan 4.9 peratus suku ke suku dalam Indeks Harga Sewa dalam tempoh yang sama, jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN