KUALA LUMPUR: Sebanyak RM40 juta dana kewangan sosial di bawah program iTEKAD telah diperuntukan kepada lebih 3,000 usahawan mikro sejak diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, program yang diperkenalkan semasa Pandemik Covid-19 itu merupakan antara usaha BNM dalam menangani cabaran yang dihadapi usahawan mikro berpendapatan rendah.
Menurut beliau, iTEKAD menggabungkan dana dermawan dan dana komersial dalam bentuk kewangan campuran untuk memberikan latihan berstruktur, modal permulaan dan pembiayaan mikro kepada segmen sasaran.
Katanya, usaha tersebut juga seiring dengan permintaan pembiayaan mikro yang telah meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sebelum pandemik.
“Bermula dengan sebuah program yang dikelolakan oleh satu institusi kewangan, dua rakan pelaksana dan 57 peserta, kini inisiatif iTEKAD telah berkembang melibatkan 11 institusi kewangan, lebih 50 rakan pelaksana dan telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 peserta.
“Program iTEKAD pada awalnya dipelopori bersama enam buah negeri di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong kini ini telah berjaya diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD, di sini, semalam.
Tambah beliau, program iTEKAD juga turut membantu peserta meningkatkan pertumbuhan perniagaan, mampu menggaji pekerja, mempunyai perniagaan yang lebih berdaya tahan dan dapat memanfaatkan teknologi dalam perniagaan.
“Sehingga kini lebih 40 peratus peserta iTEKAD telah berjaya menjana pendapatan melebihi RM4,000 sebulan, manakala 70 peratus pula mampu menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja.
“Selain itu, lebih 70 peratus mampu menabung sehingga RM4,000 sebulan dan lebih 90 peratus menjalankan jualan dan pemasaran dalam talian serta menggunakan e-pembayaran untuk transaksi perniagaan mereka,” katanya.
Ujar beliau, BNM kini dalam proses menilai beberapa permohonan program baharu yang akan memanfaatkan lebih ramai lagi peserta selain turut menggalakan pihak berkepentingan, termasuk badan korporat daripada sektor awam dan swasta menghubungi mana-mana institusi kewangan untuk menyertai inisiatif iTEKAD.
Katanya, kewangan sosial mampu memberi satu dimensi baharu pembangunan sosioekonomi rakyat dengan menerapkan prinsip- prinsip sistem kewangan yang inklusif, mempertimbangkan impak jangka panjang serta menyatupadukan semua pihak berkepentingan.
“BNM kekal komited untuk mengetengahkan kewangan sosial dalam ekosistem kewangan Malaysia, termasuk menerajui perkembangan program iTEKAD seterusnya,” katanya. – UTUSAN










