PETALING JAYA: Agensi pelaporan kredit persendirian, CTOS, menawarkan Laporan MyCTOS dengan CCRIS percuma sempena bulan Kemerdekaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger, individu yang mendaftar perkhidmatan semakan kendiri CTOS melalui laman webnya, akan menerima laporan itu secara percuma, sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan CTOS untuk memperkasa pengguna menguruskan kesihatan kredit mereka.
Katanya, kini lebih tiga juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk perkhidmatan semakan kendiri CTOS.
“Laporan MyCTOS dengan CCRIS memberi maklumat penting tentang kesihatan kredit, termasuk maklumat terperinci hutang, rekod pembayaran bagi kad kredit dan pinjaman, baki akaun dan had kredit, pertanyaan kredit, kes mahkamah kebankrapan dan maklumat syarikat lembaga pengarah seseorang individu, serta hutang bukan bank (rujukan perdagangan).
“Institusi kewangan dan peminjam menggunakan maklumat ini semasa menilai permohonan kredit,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya beliau, CTOS memainkan peranan penting dalam mempromosikan amalan kesihatan kredit asas, yang merupakan aspek penting kesejahteraan kewangan.
Tambahnya, ia mempengaruhi keupayaan untuk mendapatkan pinjaman, mendapatkan kadar faedah yang lebih baik, dan turut mempengaruhi pelbagai peristiwa penting dalam kehidupan seperti membeli kereta atau membeli rumah.
“Dengan memantau laporan kredit secara berkala, menangani ketidak tepatan, dan mengamalkan tabiat kredit yang bertanggungjawab, pengguna boleh secara proaktif mengukuhkan kewangan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata, CTOS telah melaksanakan pelbagai program kecelikan kewangan di seluruh Malaysia untuk meningkatkan tahap literasi kewangan orang awam agar lebih mahir mengurus reputasi kredit mereka.
Ia telah membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam di kalangan pengguna Malaysia mengenai kepentingan menjalankan semakan kendiri untuk terus mengawal kesihatan kredit mereka, serta memastikan perancangan kewangan yang baik dan lebih akses kepada kredit.
“Hasilnya, skor kredit purata penduduk Malaysia meningkat sebanyak 15 mata dari 663 pada tahun 2020 kepada 678 pada tahun 2022,” katanya. – UTUSAN










