PETALING JAYA: Aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pertumbuhan kukuh di sebalik pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburan dan caruman bersih yang diterima.
Sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,082.45 bilion di mana 38.6 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Menurut dana pencen itu, peningkatan dalam pendedahan luar negara sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan pasaran global dan pertukaran matawang asing yang lebih menggalakkan.
“Tidak termasuk pergerakan kadar pertukaran asing, pelaburan luar negara KWSP yang dicatatkan akan berada pada sekitar 37.5 peratus. Pelaburan luar negara KWSP menjana RM11.07 bilion, atau 61 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.
“Sementara itu, pelaburan domestik KWSP yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.
“KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan.
KWSP memberitahu, pada suku kedua 2023 (S2 2023), sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion Simpanan Shariah, dan RM16.27 bilion untuk Simpanan Konvensional.
Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional, jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP mengambil langkah berhati-hati terhadap pertumbuhan ekonomi global yang dijangka menghadapi beberapa cabaran ketara pada separuh tahun kedua 2023.
Ia akibat kesan pengetatan monetari sebelumnya, keadaan kredit yang lebih terhad dan pasaran buruh yang lemah, yang seterusnya menguji daya tahan aktiviti ekonomi global.
Kata beliau, pasaran ekuiti dan bon akan kekal tidak menentu berikutan pelbagai jangkaan mengenai kesudahan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat, risiko kemelesetan, ketidaktentuan dasar dan ketegangan geopolitik.
“KWSP terus menyelaraskan strateginya dengan perubahan keadaan pasaran dan meraih peluang yang sesuai dengan profil risikonya di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) yang kekal menjadi pemacu pertumbuhan mampan serta berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya. – UTUSAN










