PETALING JAYA: Agrobank perluas jangkauan perkhidmatan perbankan dengan menyediakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) ke kawasan pedalaman Orang Asli One-Stop Centre (OAOSC) Kampung Bawong, Sungai Siput, Perak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat akses yang pantas dan mudah kepada perkhidmatan perbankan.
Katanya, Agrobank merupakan bank pertama yang menyediakan perkhidmatan ATM dan CDM di Bawong dan berdekatan perkampungan Orang Asli sekitar Kuala Kangsar.
“Memandangkan jarak ATM atau bank di Sungai Siput yang berada agak jauh, para penduduk yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut terpaksa keluar dan bergerak sejauh 27 kilometer (km)
“Justeru, kami mengambil inisiatif ini dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah dalam meningkatkan tahap capaian penggunaan perkhidmatan perbankan asas dan berusaha menyokong keperluan masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menganggarkan perkhidmatan tersebut dapat membantu mempercepatkan urusan perbankan kira-kira 15,000 penduduk.
Tambahnya, dengan adanya mesin ATM dan CDM ini, segala urusan perbankan lebih mudah dan transaksi boleh dilaksanakan tanpa perlu lagi ke kaunter bank.
Bagi meraikan pengenalan inisiatif itu, satu majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Agrobank sedang merangka pelbagai inisiatif menarik perbankan khusus untuk pelanggan kawasan luar bandar. – UTUSAN










