Salah reka bentuk punca ubah suai

Salah reka bentuk punca ubah suai

PENINGKATAN pendapatan dan saiz keluarga yang semakin besar menyebabkan ramai pemilik mengubahsuai kediaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBAH suai rumah mengujakan kerana ia boleh mencantik, membaik pulih dan membesarkan kediaman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Mamyhome Sdn. Bhd., Mohd. Amin Mohd. Yussoff berkata, terdapat tiga jenis ubah suai rumah yang menjadi trend dan sering dilakukan oleh pemilik hartanah.

Pertama, pemilik ingin menghiasi dalaman rumah dengan perabot tanpa mengubah struktur asas rumah. Kedua, memperbetulkan susun atur dalaman rumah yang bermasalah. Akhir sekali, membaik pulih rumah yang sudah lama dan mempunyai kerosakan, kesalahan susun atur ruang kerana tidak memenuhi cita rasa pemilik.

“Jika pemilik sedar mereka mempunyai dua tahun waranti untuk kerosakan kediaman, mereka akan menimbang tara yang mana lebih menguntungkan. Kebanyakan perumahan memang mempunyai masalah kerosakan bangunan yang minimal. Jadi, ada bersikap tidak menghiraukan waranti kerana lebih menguntungkan jika diubah suai secepat mungkin,” katanya.

Jelas beliau, terdapat empat keadaan yang akan membuatkan pemilik terpaksa membuat ubah suai atau renovasi. Antaranya, salah reka bentuk susun atur, bahagian dapur terlalu kecil, susun atur bilik kurang privasi dan ruang yang sempit.

MOHD. AMIN MOHD. YUSSOFF

Katanya, rumah di Malaysia mempunyai kelemahan dari segi reka bentuk bumbung yang tidak sesuai dengan keadaan cuaca.

Silap reka bentuk bumbung dan bahan binaan, akan mengakibatkan pemilik rugi sebanyak 300 peratus daripada kos ubah suai.

“Jika ia tidak dibetulkan, ia akan menyebabkan perabot dalam rumah rosak, dinding dan bumbung akan mengalami kulat dan ini tidak baik untuk kesihatan penghuni.

“Pemilik juga terpaksa menangung masalah kesihatan berpunca daripada kuman lembapan disebabkan kerosakan reka bentuk rumah.

“Akibat kedua, pemilik kediaman akan rugi kerana tidak dapat menduduki rumah, kerana kerosakan mengambil masa yang lama untuk dibaiki.

“Bahagian dapur yang sangat kecil pula menyebabkan pemilik terpaksa meluaskan ka­wasan demi kelangsungan hi­dup yang lebih selesa,” katanya.

Selain itu, Susun atur ruang yang menyempitkan kerana posisi pintu yang tidak sesuai dan dinding bersegi-segi menyebabkan rumah yang sepatutnya luas, menjadi sempit, seterusnya merugikan pemilik.

Bagi yang mempunyai keluarga ramai, kelemahan reka bentuk rumah sangat dirasai. Ini kerana, rumah akan menjadi tidak selesa. Dan ini juga akan menjadi sebahagian daripada punca masalah keluarga dan sosial di mana anak-anak tidak selesa berada di rumah dan akan banyak habiskan masa di luar.

“Pemilik kediaman sekarang perlu berikan lebih perhatian kepada rumah yang ingin dimiliki sebelum membelinya untuk mengelak masalah kewangan. Ini kerana, kos ubah suai semakin meningkat.

“Justeru, pemilik perlu bijak dengan merancang terlebih dahulu. Dapatkan lakaran pelan keseluruhan, perspektif 3D dan keseluruhan dengan tepat sebelum memulakan renovasi.

“Ini boleh mengelakkan kerugian seperti kontraktor lari dan reka bentuk tidak seperti yang diinginkan apabila rumah sudah siap,” katanya.

MUHAMMAD RIDHUAN BOS ABDULLAH

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, peningkatan pendapatan dan saiz keluarga yang semakin besar menyebabkan ramai pemilik mengubahsuai kediaman.

Beliau bagaimanapun berpendapat, ubah suai rumah mempunyai impak yang positif kerana ia akan mewujudkan kesan limpahan ekonomi.

Jelasnya, ubah suai akan memberi impak kepada kontraktor kecil.

Justeru, beliau menasihatkan pemilik kediaman mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa jika hendak membuat ubah suai kediaman.

“Bagi unit kediaman baharu, biasanya pemaju tidak benarkan pemilik membuat ubah suai sebelum kelulusan mendiami bangunan atau kediaman.

“Pembeli ada pilihan apabila ruang kosong masih boleh dimanfaatkan untuk ubah suai sekiranya ada kemampuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×