PETALING JAYA: Pharmaniaga Bhd. melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB) memperoleh kontrak baharu daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan perkhidmatan logistik bekalan perubatan selama tujuh tahun.
Syarikat farmaseutikal tempatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, kontrak berkenaan bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2030.
“Susulan surat itu dikeluarkan, tempoh interim yang bermula pada 1 Disember 2019 untuk menyediakan perkhidmatan penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan telah tamat.
“Sementara KKM dan PLSB memuktamadkan syarat perjanjian perkhidmatan logistik bekalan perubatan baharu, PLSB akan terus menyokong dan memberikan perkhidmatannya kepada KKM berdasarkan terma penting yang dipersetujui,” katanya.
Bagaimanapun, Pharmaniaga tidak mendedahkan jumlah kontrak yang diperoleh serta jika terdapat pembaharuan atau tidak di dalam perjanjian baharu itu dengan perjanjian konsesi sebelumnya.
Februari lalu, Bursa Malaysia Securities Berhad mengumumkan Pharmaniaga Berhad telah mencetuskan kriteria menurut Perenggan 2.1(a) Nota Amalan No. 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.
Pharmaniaga kemudiannya telah menggariskan pelan strategik untuk menangani cabaran-cabaran yang dibentangkan oleh status PN17 dengan fokus terhadap penyesuaian kewangan dan komitmen bagi mengatasi halangan-halangan.
Kumpulan itu telah melakar laluan ke arah pemulihan yang berdaya tahan serta kepesatan dalam kemajuan merentasi segmen perniagaannya. – UTUSAN










